Kata-kata semangat, doa buat Harimau Malaya terus 'mengaum' di Qatar

Kelab Kompang Qatar bersama penyokong-penyokong Harimau Malaya yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang menetap di Qatar bersama-sama memeriahkan suasana kehangatan sebelum pertembungan Malaysia dan Jordan pada perlawanan kumpulan E Piala Asia 2023 di Souq Al Waqif. Foto Bernama
Kelab Kompang Qatar bersama penyokong-penyokong Harimau Malaya yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang menetap di Qatar bersama-sama memeriahkan suasana kehangatan sebelum pertembungan Malaysia dan Jordan pada perlawanan kumpulan E Piala Asia 2023 di Souq Al Waqif. Foto Bernama
A
A
A

BAHANG aksi sulung skuad Harimau Malaya pada pentas Piala Asia 2023 bertemu Jordan berbaki beberapa jam sahaja lagi kian dirasai selepas ciapan peminat bola sepak tanah air mula membanjiri platform media sosial dengan lontaran kata-kata semangat dan harapan menggunung.

Menerusi tinjauan Bernama, ciapan seperti 'Ayuh Harimau Malaya', 'Malaysia Boleh' selain 'Ekor Harimau Sejati' oleh rakyat Malaysia serta individu berpengaruh seolah-olah bergema sehingga ke bumi Qatar.

Aksi anak buah Kim Pan-gon di ranking ke-130 dunia menentang negara Timur Tengah (ranking ke-87) itu menjadi tumpuan rakyat Malaysia setelah skuad negara berjaya menamatkan penantian lebih empat dekad untuk melayakkan diri secara merit ke kejohanan kedua tertua benua di dunia itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam hantaran di laman sosial X menzahirkan harapannya untuk melihat pasukan Harimau Malaya bermain dengan kemas dan sistematik.

"Peluang Malaysia untuk menang Piala Asia = 0.2 peratus. Kalau tengok dalam kumpulan (ranking) kita lebih rendah berbanding pasukan-pasukan lain. Jadi secara realistik, kalau nak curi mata pun cuma dari Jordan dan Bahrain.

"Itu kalau cakap pasal realistik. Impian yang harapnya boleh jadi kenyataan, Malaysia layak ke pusingan seterusnya. Kalau ini boleh bikin, memang sejarah buat Malaysia," ciapnya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican pula menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyatakan sokongan dan berharap kejayaan menjadi milik Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

Safee menerusi sorotan cerita di Instagram mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik mahupun bangsa untuk bersama-sama mendoakan kemenangan pasukan Harimau Malaya.
Safee menerusi sorotan cerita di Instagram mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik mahupun bangsa untuk bersama-sama mendoakan kemenangan pasukan Harimau Malaya.

Sementara itu, bekas pengurus pasukan bola sepak Selangor yang juga pemerhati sukan, Zakaria Rahim berkata, Harimau Malaya tidak mempunyai pilihan lain selain menumbangkan pasukan Jordan dan mencipta sejarah dalam perlawanan malam ini.

"Matlamat perlawanan ini ialah bagi mencipta sejarah. Menang atau kalah bukan pilihan di sini tetapi memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan adalah teramat penting.

Ganjarannya akan datang sendiri apabila usaha telah dioptimumkan. Maka, berikan segala yang anda ada dan elemen yang bergerak dalam permainan akan membawa anda kepada kemasyhuran,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pemain legenda bola sepak tanah air, Safee Sali menerusi sorotan cerita di Instagram mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik mahupun bangsa untuk bersama-sama mendoakan kemenangan pasukan Harimau Malaya dalam pertembungan awal pagi ini waktu Malaysia.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 1.30 pagi ini waktu Malaysia, diikuti Bahrain (20 Jan) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan ini.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik akan layak untuk pusingan 16 pasukan di Doha.

Ini merupakan penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007 tetapi tidak pernah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam kejohanan ini.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut membuat tayangan skrin besar di 16 lokasi secara percuma, di seluruh negara bagi menyemarakkan lagi sokongan buat Harimau Malaya bagi ketiga-tiga perlawanan tersebut.

Antara lokasi yang dipilih ialah Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur; Padang Kota, di Georgetown, Pulau Pinang dan Dataran Mara, Kota Bharu, Kelantan.

Orang awam boleh merujuk laman sesawang KBS di pautan https://www.kbs.gov.my/ untuk maklumat lanjut.

Ikuti berita dan info terkini mengenai Piala Asia 2023 di asiancup.bernama.com. - Bernama