Proses, edar ketum: Empat anggota polis ditahan kerja

Allaudeen
Allaudeen
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai empat daripada enam anggota polis yang diberkas selepas disyaki terbabit kegiatan memproses dan mengedar ketum telah ditahan kerja.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kegiatan anggota berkenaan.

"Kita sudah tahan kerja empat anggota yang ditangkap, manakala individu lain yang ditahan pula (diambil keterangan) untuk membantu siasatan. Kita juga masih menunggu keputusan patologi," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan, tujuh individu termasuk enam anggota polis ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan memproses dan mengedar air ketum.

Dalam serbuan pada 2.15 pagi, 4 Januari lalu, polis menahan empat lelaki berusia 24 hingga 38 tahun yang juga anggota polis di sebuah rumah di Brickfields.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dilaporkan berkata, polis merampas daun ketum anggaran berat 18 kilogram dan air ketum anggaran berat 13.5 liter bernilai RM420.

Katanya, turut dirampas pelbagai peralatan memproses ketum, pakaian seragam polis serta wang tunai RM1,200.

Susulan penahanan itu, katanya, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kemudian menahan dua lagi anggota polis dan seorang lelaki awam yang disyaki terbabit kegiatan sama.

Artikel Berkaitan: