MyGCC di bawah Kementerian Komunikasi - Fahmi

Fahmi (dua dari kiri) bersama Nie Ching (tiga dari kiri) dan Mohamad Fauzi mengadakan lawatan ke MyGCC pada Isnin. Foto Bernama
Fahmi (dua dari kiri) bersama Nie Ching (tiga dari kiri) dan Mohamad Fauzi mengadakan lawatan ke MyGCC pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC), yang sebelum ini di bawah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), kini diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi, kata Menterinya, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, keputusan itu diambil kerana agensi berkenaan dilihat memainkan peranan penting sebagai komunikasi pertama antara kerajaan dan rakyat bagi mendapatkan maklumat dan mengemukakan aduan.

Katanya, MyDIGITAL Corporation yang sebelum ini ditempatkan di bawah Kementerian Ekonomi pula dipindahkan ke Kementerian Digital.

"Ada beberapa lagi agensi sama ada baru atau sedang dalam proses disahkan perpindahannya. Sebelum hujung bulan, akan diterbitkan Ministerial Function Order yang akan menetapkan kementerian, dan juga agensi yang diwartakan, dan itu akan menjadi direktori rasmi di mana agensi-agensi berada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat MyGCC di sini pada Isnin.

MyGCC yang sebelum ini di bawah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), kini diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi. Foto Bernama
MyGCC yang sebelum ini di bawah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), kini diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi. Foto Bernama

Turut bersama beliau dalam lawatan ialah Timbalannya, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Jabatan Penerangan (JaPen), Jabatan Penyiaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan MyCreative Ventures kekal di bawah Kementerian Komunikasi.

Artikel Berkaitan:

Mengenai MyGCC, Fahmi berkata, pusat panggilan itu menerima kira-kira 955,867 transaksi sepanjang tahun lepas menerusi pelbagai paltform, dengan 99.26 peratus daripadanya dibuat melalui panggilan telefon.

Beliau berkata, kebanyakan panggilan dibuat berkaitan Kementerian Dalam Negeri dan agensi di bawahnya seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara selain Jabatan Pengangkutan Jalan.

"Memandangkan sekarang ramai juga yang berinteraksi dalam aplikasi seperti WhatsApp, Telegram dan sebagainya, saya minta nanti pihak MyGCC untuk kaji apa yang boleh kita lakukan untuk tambah baik proses komunikasi termasuk mengadaptasi AI (kecerdasan buatan) untuk memanfaatkan platform-platform yang bukan panggilan tapi seperti WhatsApp dan sebagainya," katanya.

Pada masa ini orang ramai boleh membuat pertanyaan, aduan, cadangan atau maklum balas, perkhidmatan pemindahan talian dan penerimaan penghargaan kepada semua agensi kerajaan melalui tujuh saluran komunikasi dengan menggunakan satu nombor, tanpa perlu hadir ke agensi kerajaan atau kementerian berkenaan.

Tujuh saluran itu ialah panggilan suara; Sistem Pesanan Ringkas; e-mel; facebook; Twitter (kini dikenali X); instagram; dan Aplikasi Chatbot SITI@MyGCC. - Bernama