Kerjasama komuniti, kerajaan negeri penting tentukan kesesuaian PSH

Zambry (dua, kiri) membuat lawatan kerja rasmi ke Kolej Komuniti Jasin (KKJ) dan Politeknik Merlimau Melaka (PMM) pada Selasa. Foto FB Zambry Abd Kadir
Zambry (dua, kiri) membuat lawatan kerja rasmi ke Kolej Komuniti Jasin (KKJ) dan Politeknik Merlimau Melaka (PMM) pada Selasa. Foto FB Zambry Abd Kadir
A
A
A

MELAKA - Kerjasama komuniti setempat dengan kerajaan negeri sangat penting dalam menentukan keperluan kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang bersesuaian untuk penuntut, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, penglibatan dengan pihak industri turut disarankan agar program yang ditawarkan dapat melahirkan siswazah yang dapat memenuhi pasaran, sekali gus mampu menjana ekonomi negeri dengan lebih mampan dan sejahtera.

"Saya juga mahu melihat proses pemindahan ilmu kepada masyarakat turut berlaku dalam kalangan pendidik dan pelajar kolej komuniti dan politeknik memandangkan kedua institusi ini bukan sekadar melahirkan graduan yang dapat memenuhi pasaran kerja terutamanya bidang kemahiran terkini dan juga Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Terdahulu, beliau membuat lawatan kerja rasmi ke Kolej Komuniti Jasin (KKJ) dan Politeknik Merlimau Melaka (PMM) hari ini.

Dalam lawatan julung kalinya ke kolej komuniti dan politeknik selepas dilantik menjawat jawatan Menteri Pendidikan Tinggi, beliau turut mengambil maklum berkenaan keperluan KKJ dan PMM dalam meneruskan perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat setempat.

Dalam pada itu beliau berkata, program turun padang ke institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi antara agenda utama kementeriannya dalam usaha mengangkat imej IPT di seluruh negara termasuk institut pengajian tinggi awam, swasta, politeknik serta kolej komuniti dan pada masa sama mendengar dan mendekati mahasiswa, tenaga pengajar dan warga kampus. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!