Agong terima kunjungan hormat Raja Bhutan

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menerima kunjungan hormat Raja Jigme Khesar Namgyel Wangchuck dan Permaisuri Jetsun Pema di Istana Qashru Munee di Brunei Darussalam. Foto Facebook Istana Negara

A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Ahad berkenan menerima kunjungan hormat Raja Bhutan, Raja Jigme Khesar Namgyel Wangchuck dan Permaisuri Bhutan, Permaisuri Jetsun Pema di Istana Qashru Munee di Brunei Darussalam.

Dalam hantaran melalui Instagram, Istana Negara memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menerima menghadap Yang Amat Mulia (YAM) Puteri Noor Asem dari Jordan dan suami, Tuan Yang Terutama Amr Fareed Zaidan.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berada di Brunei Darussalam bagi menghadiri Istiadat Bersanding Pengantin Diraja Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dengan Pengiran Anak Isteri Pengiran Anisha Rosnah Adam di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan pada Ahad.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menerima menghadap YAM Puteri Noor Asem (dua dari kanan) dari Jordan dan suami, Tuan Yang Terutama Amr Fareed Zaidan (dua dari kiri). Foto Facebook Istana Negara

Terdahulu pada sebelah pagi, Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat ke Istiadat Bersanding Pengantin Diraja Brunei itu di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat tiba di Bandar Seri Begawan semalam atas persilaan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Seri Paduka Baginda berdua turut dijadualkan berangkat menghadiri Istiadat Persantapan Diraja sempena meraikan kedua-dua pengantin diraja di Istana Nurul Iman esok sebelum berangkat pulang ke tanah air sehari selepas itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: