Gobind gesa polis siasat kes wartawan terima ugutan bunuh

Gobind - Foto Bernama
Gobind - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menggesa polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas berhubung kes seorang wartawan penyiaran yang menerima ugutan bunuh Rabu lalu.

Gobind berkata, tugas wartawan adalah melaporkan fakta supaya maklumat dapat disampaikan kepada masyarakat, namun jika tidak bersetuju, beberapa kaedah lain boleh dilakukan untuk memperbetulkannya.

“Kalau tak setuju dengan laporan itu, ada cara untuk memperbetulkan ataupun mengemukakan pandangan berbeza.

“Tidak perlu ugutan, gunakan kekerasan ataupun bertindak di luar batasan undang-undang,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini.

Beliau dalam pada itu berharap pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas sekiranya didapati berlaku sebarang kesalahan.

Terdahulu, seorang wartawan penyiaran menerima ugutan bunuh daripada individu tidak dikenali susulan laporan berita dikeluarkan berhubung isu Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Ugutan bunuh itu diterima menerusi komen-komen warganet yang ditinggalkan di portal dalam talian televisyen tersebut selepas satu video mengenai isu berkaitan dimuat naik dan menjadi tular di laman sosial.

Menurut mangsa, selain diugut bunuh, dia turut menerima ancaman yang dirinya akan dicederakan selain harta bendanya akan dirosakkan.

Artikel Berkaitan:

Mangsa mendakwa lebih membimbangkan, dia dan jurukamera turut didatangi individu tidak dikenali di pejabatnya yang meluahkan rasa tidak puas hati kerana isu SRIDI dibangkitkan.