Pencuri pulang lembu hitam sebagai ganti

Lembu milik Wan Mohd Sofian yang pengsan selepas dikatakan ditembak ubat pelali dirakam olehnya selepas bertemu dengan sekumpulan lelaki terbabit.
Lembu milik Wan Mohd Sofian yang pengsan selepas dikatakan ditembak ubat pelali dirakam olehnya selepas bertemu dengan sekumpulan lelaki terbabit.
A
A
A

KUANTAN - Seorang penternak mendapat lembu jantan hitam sebagai ganti lembunya yang hilang selepas dipercayai ditembak ubat pelali oleh sekumpulan lelaki di sebuah kebun di Kampung Batu Hitam pada Jumaat lalu.

Wan Mohd Sofian Wan Mohamed, 40, berkata, gantian itu dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan salah seorang daripada kumpulan terbabit pada Sabtu.

Dia bersyukur persetujuan yang dicapai itu dapat mengelakkan dirinya daripada menanggung kerugian sebanyak RM5,000.

"Saya kenal salah seorang daripada mereka yang terlibat dan pergi ke rumahnya semalam (Sabtu). Dia (individu terlibat) tidak mengaku ambil (lembu) itu. Tapi saya kata, kalau saya sebagai tuan tidak mengambil lembu itu, mesti dia yang ambil, sebab hanya kami berdua sahaja tahu kejadian itu.

"Jadi, saya mintak dia ganti yang lain dan alhamdulillah dia ganti seekor lembu baharu berwarna hitam yang sama saiz dengan lembu yang hilang dan diletakkan berhampiran kebun saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kebun miliknya di Kampung Batu Hitam pada Ahad.

Bapa kepada empat anak itu memberitahu dia terserempak dengan sekumpulan individu termasuk lelaki warga asing yang dikenali itu

di tepi jalan, kira-kira 100 meter dari kebunnya pada hari kejadian.

Menurutnya, mereka dalam keadaan mencurigakan dan seolah-olah sedang berusaha memindahkan lembu yang berada keadaan pengsan, selepas dipercayai ditembak dengan ubat pelali.

Artikel Berkaitan:

Dia mengakui sempat merakam gambar tiga individu terbabit kerana disyaki cuba mencuri lembu jantan miliknya selepas melihat tanda pada tali untuk dijadikan bukti kegiatan jahat mereka.

Wan Mohd Sofian melihat lembu jantan hitam yang diganti di kebun miliknya di Kampung Batu Hitam.
Wan Mohd Sofian melihat lembu jantan hitam yang diganti di kebun miliknya di Kampung Batu Hitam.

"Saya ada tanya, apa tujuan mereka di situ, dan seorang ahli kumpulan itu mendakwa ingin mengambil seekor lembu milik salah seorang daripada mereka.

"Saya kemudian pergi ke tempat lembu yang sedang terbaring dan mendapati lembu itu adalah milik saya yang sebelum ini dibiarkan bebas untuk mencari makan di luar kebun.

"Seterusnya, saya merakam gambar tiga lelaki, dua lagi individu yang dipercayai terbabit menembak lembu dengan ubat pelali berjaya melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda," katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Dia yang sudah mengusahakan ternakan lembu lebih 10 tahun turut meminta individu terbabit membiarkan lembu berkenaan di situ.

Ujarnya, namun, harapan untuk melihat lembu miliknya kembali ke kebunnya meleset apabila haiwan berkenaan dipercayai dilarikan kumpulan pencuri terbabit pada waktu malam.

"Saya berharap kejadian yang berlaku kelmarin (Sabtu) dapat menyelesaikan kes curi lembu yang berlarutan sejak lima tahun lalu di Kampung Batu Hitam.

"Dalam tempoh lima tahun saya kehilangan sembilan ekor lembu jantan bernilai lebih RM40,000 yang sedia dijual untuk ibadah korban," katanya yang kini memiliki lapan ekor lembu jantan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.