Tiga individu ditahan insiden pergaduhan Liga TFL

Mazli. Laporan Sinar Harian
Mazli. Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai tiga individu ditahan dipercayai terlibat insiden pergaduhan melibatkan beberapa individu ketika minit akhir perlawanan antara NAG FC dan KESA FC semasa Liga Bolasepak Terengganu (TFL) yang berlangsung di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di Kuala Nerus pada petang Jumaat.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun itu ditahan secara berasingan pada Sabtu.

"Tiga suspek ditahan termasuk pegawai dan pemain bola sepak. Setakat ini kita dah buat tangkapan seramai tiga orang dan mungkin ada tangkapan lain akan dilakukan.

"Siasatan berhubung kes tersebut masih berjalan bagi menyiasat insiden sehingga menyebabkan seorang individu mengalami kecederaan teruk," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini pada Ahad.

Mazli berkata, siasatan berhubung kes itu dijalankan bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Pada Jumaat, beberapa individu termasuk pegawai pasukan bola sepak cedera dalam pergaduhan yang berlaku ketika perlawanan TFL di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Gong Badak, Kuala Nerus.

Difahamkan, pergaduhan itu tercetus sebelum perlawanan antara kelab NAG FC dan KESA FC yang berkesudahan NAG FC mendahului 4-1 pada kejohanan edisi kedua tersebut.

Susulan itu, Jawatankuasa Tatatertib Liga TFL akan menyiasat insiden pergaduhan melibatkan beberapa individu ketika minit akhir perlawanan antara NAG FC dan KESA FC yang berlangsung di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di Kuala Nerus pada petang Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Presidennya, Hishamuddin Abdul Karim berkata, siasatan mendalam akan dijalankan termasuk meneliti semua laporan sebelum sebarang keputusan dibuat.