Jawatankuasa Tatatertib TFL siasat insiden pergaduhan

Hishamuddin. Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Hishamuddin. Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jawatankuasa Tatatertib Liga Bolasepak Terengganu (TFL) akan menyiasat insiden pergaduhan melibatkan beberapa individu ketika minit akhir perlawanan antara NAG FC dan KESA FC yang berlangsung di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di Kuala Nerus pada petang Jumaat.

Presidennya, Hishamuddin Abdul Karim berkata, siasatan mendalam akan dijalankan termasuk meneliti semua laporan sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Kita akan meneliti insiden ini dengan menyerahkan siasatan kepada Jawatankuasa Tatatertib TFL untuk meneliti semua laporan sebelum ia diputuskan secara muktamad di bawah PBSNT.

"Anasir tidak sihat ini amat mendukacitakan dan kami berharap ia tidak berulang. Kami anggap ia sebagai kes serius dan akan berusaha menangani dengan cermat dan tidak akan berkompromi dalam sebarang bentuk salah laku," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, TFL dalam kenyataannya berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan termasuk melalui laporan lengkap pegawai perlawanan dan pihak keselamatan.

Jelas kenyataan itu, insiden pergaduhan itu menyebabkan salah seorang mangsa mengalami kecederaan teruk pada muka dan kepala.

"Pihak penganjur memandang serius berkenaan perkara ini dan tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat termasuk pihak pasukan akan dikenakan. Komitmen kami untuk mengekalkan persekitaran kejohanan sukan yang selamat dan berdaya saing akan diteruskan. Segala kekurangan akan diperbaiki," katanya.

Malam Jumaat tular video berdurasi 42 saat memaparkan insiden memalukan itu yang dikatakan berlaku sebelum perlawanan antara dua pasukan iaitu NAG FC dan KESA FC tamat.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan video berkenaan, insiden itu dipercayai turut melibatkan pemain dan penyokong menyebabkan terdapat beberapa individu lari untuk menyelamatkan diri.