Lebih 338,000 tandatangan petisyen minta Maszlee kekal

Petisyen dilancarkan semalam kini melangkaui sasaran awal 50,000 tandatangan.
Petisyen dilancarkan semalam kini melangkaui sasaran awal 50,000 tandatangan.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu petisyen mendesak agar Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dikekalkan sebagai Menteri Pendidikan yang dilancarkan petang semalam terus mendapat sambutan hangat.

Petisyen dilancarkan individu menamakan dirinya Tuah Kencana itu pada asalnya meletakkan sasaran awal mendapatkan 50,000 tandatangan namun selepas tiga jam, petisyen tersebut telah mendapat lebih 70,000 tandatangan.

Kini, selepas hampir 24 jam dilancarkan, lebih 338,000 tandatangan berjaya diperoleh dan sepanjang pemantauan dijalankan Sinar Harian setakat jam 4.25 petang, jumlahnya sentiasa bertambah setiap 30 saat.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya pulangkan jawatan ini kepada Perdana Menteri...'

Dibandingkan dengan satu petisyen mendesak Maszlee meletak jawatan yang dilancarkan lapan bulan lepas, petisyen mahukan bekas Menteri Pendidikan itu mengekalkan jawatannya mendapat sambutan yang jauh lebih hangat daripada petisyen sebelum ini.

Selepas lapan bulan, petisyen itu hanya mampu memperoleh lebih 42,000 tandatangan sedangkan petisyen menyokong Maszlee melepasi angka itu tidak sampai tiga jam selepas ia dilancarkan.

Maszlee semalam dalam satu sidang akhbar khas di Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya mengumumkan menyerahkan semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengganti Maszlee akan diumumkan sedikit masa lagi: Dr Mahathir

Artikel Berkaitan:

Netizen 'salute' Maszlee letak jawatan Menteri Pendidikan

Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana telah memberi peluang selama 20 bulan untuknya mengemudi KPM.

Maszlee adalah bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Mac 2018, sebelum dipilih menjadi calon di Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau memperoleh 18,157 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Liang Teck Meng yang menerima 14,682 undi serta calon Pas, Mohd Jubri Selamat (2,983 undi), sekali gus menang dengan majoriti 3,475 undi.