Perkahwinan dekad ini

Putera Mateen dan Dayang Anisha selepas Majlis Akad Nikah Diraja di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Putera Mateen dan Dayang Anisha selepas Majlis Akad Nikah Diraja di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
A
A
A

BANDAR SERI BEGAWAN - Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah secara rasmi menamatkan zaman bujangnya selepas sah bergelar suami kepada pasangannya, Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah pada Khamis lalu.

Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja berlangsung dengan penuh istiadat Brunei di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Pasangan pengantin diraja itu bagaikan pinang dibelah dua. Malah, tidak keterlaluan jika istiadat perkahwinan tersebut digambarkan sebagai perkahwinan dekad ini.

Putera Mateen yang memakai pakaian putih tradisional dihiasi dengan motif berbentuk berlian dan tengkolok sepadan dibawa ke masjid menggunakan kenderaan mewah.

Beliau dilihat duduk di atas kusyen kuning tinggi di hadapan seorang imam dalam upacara khusus bagi lelaki yang turut dihadiri Sultan Hassanal Bolkiah dan kerabat serta tetamu lain.

Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha menghadiri Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja sempena perkahwinan Putera Mateen dan Dayang Anisha di Istana Nurul Iman.
Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha menghadiri Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja sempena perkahwinan Putera Mateen dan Dayang Anisha di Istana Nurul Iman.

Sebaik sahaja lafaz kabul disahkan, tembakan meriam sebanyak 17 das dilepaskan bagi menandakan Istiadat Akad Nikah Diraja telah sempurna. Istiadat diakhiri dengan bacaan doa selamat.

Putera Mateen, 32, ialah anak ke-10 Sultan Hassanal Bolkiah, raja paling lama memerintah di dunia.

Artikel Berkaitan:

Beliau lulus sebagai pegawai kadet di Akademi Tentera Diraja Sandhurst dan mewakili negaranya dalam sukan polo pada Sukan SEA 2019.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Putera Mateen memainkan peranan yang semakin meningkat dalam diplomasi antarabangsa.

Seperti mana dunia mengenali aura dimiliki Putera Mateen yang dianggap ‘putera idaman ramai’, latar belakang Dayang Anisha, 29, juga bukan calang-calang.

Selain memiliki rupa paras yang jelita, Dayang Anisha atau juga dikenali sebagai Anisha Rosnah Isa-Kalebic berasal daripada latar belakang keluarga bangsawan.

Dayang Anisha ialah cucu kepada Pehin Datuk Isa yang merupakan penasihat khas kepada Sultan Brunei dan dilaporkan mempunyai jenama fesyen sendiri serta memiliki syarikat usaha sama pelancongan.

Beliau merupakan graduan dari salah sebuah universiti tersohor di United Kingdom (UK).

Lapor People Magazine, Putera Mateen dan Dayang Anisha dipercayai menjalin hubungan cinta sejak beberapa tahun lalu.

Pasangan itu dilihat bersama dalam beberapa acara umum termasuk perkahwinan Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah.

Istiadat perkahwinan pasangan pengantin diraja itu berlangsung selama 10 hari, dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari lalu.

Acara kemuncak iaitu Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja berlangsung di Istana Nurul Iman pada hari ini.

Pasangan pengantin diraja itu kemudian akan menyertai perarakan mengelilingi ibu kota Seri Begawan, manakala Majlis Persantapan Diraja dijadualkan pada 15 Januari. - Agensi