Rakyat Malaysia berhimpun gesa gencatan senjata, henti perang di Gaza

Dianggarkan ribuan peserta berhimpun sempena ‘Hari Bertindak Global: Gencatan Senjata Sekarang, Hentikan Perang di Gaza’ berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat pada Sabtu.
Dianggarkan ribuan peserta berhimpun sempena ‘Hari Bertindak Global: Gencatan Senjata Sekarang, Hentikan Perang di Gaza’ berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perhimpunan ‘Hari Bertindak Global: Gencatan Senjata Sekarang, Hentikan Perang di Gaza’ memaparkan semangat perjuangan rakyat Malaysia dalam menggesa negara kuasa besar Amerika Syarikat (AS) untuk gencatan senjata terhadap perang di Israel-Palestin.

Seorang pesara, Megat Saidi, 64, berkata, dia amat terkesan dengan keadaan menimpa Gaza apabila rejim Zionis bertindak untuk menceroboh tanah Arab berkenaan.

Megat
Megat

“Sudah lebih tiga bulan peperangan antara Israel-Palestin ini berlarutan. Sudah tentu perkara ini memberi kesan lebih-lebih lagi kita berpegang kepada akidah yang sama.

“Jika perkara (pembunuhan) ini berlaku kepada binatang pun kita sedih, apatah lagi apabila berlaku kepada manusia,” katanya ketika ditemui berhampiran Kedutaan AS pada Sabtu.

Ujar Megat, tujuan dia hadir ke himpunan itu sebagai tanda solidariti kepada Palestin untuk mencapai gencatan senjata.

Tambahnya, himpunan berkenaan bukan sahaja dilakukan di Malaysia malah turut dilakukan di peringkat antarabangsa yang mana ia memaparkan kebersamaan penduduk dunia dengan Palestin.

Artikel Berkaitan:

Perhimpunan ini disertai oleh pelbagai lapisan umur dan kaum yang bersama-sama menunjukkan solidariti terhadap Palestin
Perhimpunan ini disertai oleh pelbagai lapisan umur dan kaum yang bersama-sama menunjukkan solidariti terhadap Palestin

Dalam pada itu, dia berharap agar kerajaan tidak menghentikan usaha dalam memperjuangkan hak dan memerdekakan tanah berkenaan daripada cengkaman rejim Zionis.

“Saya berharap kerajaan memainkan peranan bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

“Ini kerana, kami (rakyat) hanya mampu untuk memberi sokongan melalui berhimpun sebagai tanda solidariti dan menghulurkan bantuan kewangan,” kata Megat.

Salahuddin
Salahuddin

Sementara itu, pekerja swasta, Salahuddin Norazmi, 23, berkata, pendekatan berhimpun secara beramai-ramai merupakan satu inisiatif terbaik yang boleh dilakukan kini.

Menurutnya, apabila seluruh penduduk dunia berkumpul dalam menyuarakan ketidakpuashatian terhadap tindakan Israel, ia secara tidak langsung membuka mata negara-negara besar bahawa ramai yang prihatin kepada Palestin.

“Antara cara lain yang boleh kita lakukan dengan berkongsi sebanyak mungkin hantaran di media sosial berkenaan penindasan rejim Zionis terhadap Gaza.

“Bukan itu sahaja, kita juga boleh boikot produk-produk yang menyatakan sokongan secara jelas kepada Israel,” ujarnya.

Nadia
Nadia

Himpunan berkenaan turut dihadiri oleh warganegara Norway, Nadia Chaudry, berkata, dia berasa kagum melihat semangat ditunjukkan oleh rakyat Malaysia yang sanggup berhimpun sebagai tanda sokongan dalam menggesa gencatan senjata dilakukan.

“Perkara yang mampu saya lakukan pada ketika ini adalah dengan menghadiri perhimpunan melibatkan Palestin sebagai sokongan,” katanya.