Biar mahkamah tentukan ‘penyibuk’ atau ‘pilih bulu’ - Haniff Khatri

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan sama ada Badan Peguam Malaysia ‘penyibuk’ dan ‘pilih bulu’ hanya akan ditentukan oleh mahkamah dan bukannya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Badan Peguam mempunyai asas dalam memfailkan permohonan semakan kehakiman dan perintah supaya keputusan Peguam Negara (AG) agar Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), dibatalkan.

“Sama ada dapati bahawa Badan Peguam ada hak atau tidak, adalah untuk mahkamah putuskan. Dalam kes ini, di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 145, (keputusan AG) boleh diusahakan untuk dicabar jika mereka percaya tidak dilaksanakan dengan betul,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid pada Khamis yang menyifatkan Badan Peguam sebagai penyibuk (busy body) dan pilih bulu.

Tambah Mohamed Haniff, mahkamah yang akan membuat keputusan melibatkan isu perlembagaan dan tidak memerlukan pandangan secara khusus pihak terkesan.

“Jadi, isu menyibuk yang digunakan oleh Timbalan Perdana Menteri adalah mahkamah yang akan buat keputusan. Kalau Badan Peguam mempunyai hak (memfailkan permohonan semakan), mereka tak dianggap sebagai penyibuk dalam undang-undang.

“Tapi kalau mahkamah kata tiada hak, barulah boleh dianggap sebagai penyibuk,” jelasnya.

Mohamed Haniff menegaskan, tidak pernah berlaku kes berprofil tinggi yang digugurkan pertuduhan di penghujung kes pembelaan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia berbeza dengan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang digugurkan pada penghujung kes.

“Sebagai peguam, saya pun tidak setuju kes terbabit digugurkan pada masa itu. Tapi, kes Ahmad Zahid digugurkan di penghujung kes pembelaan.

“Biarlah semua peguam terlibat berhujah di mahkamah dan Ahmad Zahid sepatutnya duduk diam,” katanya.