Minyak masak subsidi: Kerajaan kena adil pada rakyat

Khairil Nizam (kiri). Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Khairil Nizam (kiri). Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan satu mekanisme yang adil dan telus agar penggunaan subsidi menjadi lebih bersasar, wajar dan adil.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, ketiadaan larangan atau kawalan penjualan minyak masak peket bersubsidi kepada warga asing hanya akan memberi tekanan kepada bekalan di pasaran.

Sedangkan jelasnya, minyak masak peket bersubsidi sepatutnya disasarkan kepada golongan B40 dan sebahagian golongan M40 terdiri daripada 5.8 juta isi rumah yang layak.

"Sepatutnya kita mengutamakan kebajikan rakyat tempatan untuk menangani kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

"Masalah timbul apabila ia juga dijual kepada warga asing sama seperti rakyat Malaysia dengan hanya tetapan pembelian di pasar raya besar sebanyak tiga peket maksimum bagi sebuah keluarga.

"Bagaimanapun, situasi sebenar adalah seorang warga asing boleh membeli dua peket dan mereka pula tinggal serumah dengan jumlah bilangan yang ramai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pada Selasa memaklumkan, tiada larangan untuk warga asing membeli minyak masak peket bersubsidi namun mereka tertakluk kepada had pembelian sama seperti rakyat Malaysia.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pihaknya ada menerima cadangan berkaitan larangan itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahli Parlimen Jerantut itu, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada suku keempat tahun 2023, kuota pengeluaran minyak masak peket bersubsidi adalah sebanyak 60,000 metrik tan untuk sebulan.

Jumlah itu katanya, mencukupi untuk keperluan rakyat tempatan, sama ada untuk kegunaan domestik atau perniagaan penjaja mikro yang ada di dalam negara ini.

"Berdasarkan perangkaan ini juga, keperluan penggunaan minyak masak domestik di rumah lazimnya hanya sekitar 4.5 kilogram sahaja.

"Keperluan peniaga mikro yang menggunakannya pula purata 400 peket sebulan bagi perniagaan kecil mereka seperti penjual pisang goreng, keropok lekor mahupun penjual karipap," jelasnya.

Khairil Nizam bagaimanapun berkata, dengan unjuran data jumlah pekerja asing sehingga 30 September 2023 berjumlah lebih 2.7 juta orang, sudah tentu ia memberikan tekanan kepada bekalan minyak masak bersubsidi.

Malah, masalah ditambah dengan ketirisan penjualan minyak bersubsidi dan lebih diburukkan lagi apabila ada restoran yang membeli secara pukal dan menyorok minyak masak peket sehingga ketiadaan bekalan sepertimana dilaporkan berlaku di beberapa negeri.

"Pas juga menggesa kerajaan untuk membentangkan laporan audit kepada Parlimen oleh KPDN bagi mengesan sebarang ketirisan dan penyelewengan terhadap pemberian subsidi," tegasnya.