[VIDEO] Penduduk gempar fenomena rumpai berbunga dalam parit

A
A
A

KUALA SELANGOR - Penduduk Kampung Bukit Hijau di sini, digemparkan dengan fenomena pelik rumpai mengeluarkan bunga berwarna kuning di dalam parit sejak minggu lalu.

Seorang penduduk, Norman Hambali, 63, berkata, fenomena di Jalan Rizab Derahman itu dianggap luar biasa dan tidak pernah berlaku sepanjang menetap di kampung itu sejak lahir.

Norman
Norman

"Biasanya parit ini kotor dipenuhi rumput panjang, tetapi sejak akhir-akhir ini kelihatan aneh apabila dipenuhi bunga dan airnya lebih jernih daripada biasa," katanya ketika ditemui di lokasi itu pada Jumaat.

Fenomena pelik rumpai mengeluarkan bunga berwarna kuning di dalam parit di Jalan Rizab Derahman, Kampung Bukit Hijau pada Jumaat.
Fenomena pelik rumpai mengeluarkan bunga berwarna kuning di dalam parit di Jalan Rizab Derahman, Kampung Bukit Hijau pada Jumaat.

Norman berkata, fenomena itu hanya berlaku di parit sepanjang lebih satu kilometer di kawasan tersebut.

Menurutnya, perkara itu mula disedari selepas paras air parit berkenaan naik pada bulan lalu.

Seorang lagi penduduk, Aiman Fikri Muhamad Nor, 22, berkata, kejadian itu dianggap pelik lebih-lebih lagi berlaku hanya kira-kira 20 meter dari parit hadapan rumahnya.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak mengetahui spesies bunga itu dan sudah membuat rujukan di internet mengenainya.

"Jumlah bunga itu semakin bertambah sejak minggu lalu dan tidak menimbulkan apa-apa kesan bahaya kepada penduduk setakat ini," katanya.

Aiman menunjukkan fenomena pelik rumpai mengeluarkan bunga berwarna kuning di dalam parit sejak seminggu lalu.
Aiman menunjukkan fenomena pelik rumpai mengeluarkan bunga berwarna kuning di dalam parit sejak seminggu lalu.

Seorang lagi penduduk, Azlianty Ahmad, 45, berkata, kawasan berkenaan kini mula dikunjungi orang ramai yang mahu merakam gambar dan video.

"Saya berharap ia mampu menjadi daya tarikan kepada pengunjung yang singgah ke kawasan ini," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!