Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Forum Perdana Ehwal Islam Diraja

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke Program Forum Perdana Ehwal Islam Diraja bertajuk 'Institusi Diraja Penyatuan Ummah' malam ini. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke Program Forum Perdana Ehwal Islam Diraja bertajuk 'Institusi Diraja Penyatuan Ummah' malam ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Forum Perdana Ehwal Islam Diraja di Istana Negara malam ini.

Forum bertajuk ‘Institusi Diraja Penyatuan Ummah’ tersebut dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Istana Negara bagi meningkatkan dan menyuburkan kefahaman masyarakat bahawa institusi diraja ialah simbol menyatukan ummah dalam kalangan komuniti yang berbeza dan pelbagai.

Lebih 400 orang hadir di Istana Negara bagi menonton forum yang berlangsung selama satu jam 30 minit itu yang turut disiarkan secara langsung di saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bergambar bersama moderator dan panel pada Program Forum Perdana Ehwal Islam Diraja bertajuk 'Institusi Diraja Penyatuan Ummah' malam ini. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bergambar bersama moderator dan panel pada Program Forum Perdana Ehwal Islam Diraja bertajuk 'Institusi Diraja Penyatuan Ummah' malam ini. Foto Bernama

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar selain barisan kepimpinan tertinggi kerajaan antaranya Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Antara inti pati forum itu termasuk peranan penting yang dimainkan Raja-Raja Melayu dalam menjadi tunggak kekuatan agama Islam serta menyatukan masyarakat di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bergambar bersama tetamu yang hadir pada Program Forum Perdana Ehwal Islam Diraja bertajuk 'Institusi Diraja Penyatuan Ummah' malam ini. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bergambar bersama tetamu yang hadir pada Program Forum Perdana Ehwal Islam Diraja bertajuk 'Institusi Diraja Penyatuan Ummah' malam ini. Foto Bernama

Forum tersebut menampilkan Ustaz Zakaria Othman dari Jakim sebagai moderator bersama tiga panel iaitu Timbalan Mufti Pahang, Datuk Badli Shah Alaudin; pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashi dan pensyarah Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail.

Artikel Berkaitan:

Ahli panel juga mengupas mengenai kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah mengemudi negara ketika wabak Covid-19 dan ketidaktentuan politik akibat berlakunya 'hung parliament’ pasca Pilihan Raya Umum ke-15 yang menjadi bukti betapa pentingnya institusi diraja dalam urus tadbir negara ini.

Usai forum tersebut pada jam 10.30 malam, Seri Paduka berdua berkenan beramah mesra dan bersantap bersama tetamu yang hadir sebelum berangkat meninggalkan majlis. - Bernama