Raja Permaisuri berangkat ke Majlis Santapan Malam Persidangan OB-PS Malaysia

Tunku Azizah (dua dari kanan) berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam sempena Persidangan The Olave Baden-Powel Society di Istana Negara malam Ahad. - Foto Bernama
Tunku Azizah (dua dari kanan) berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam sempena Persidangan The Olave Baden-Powel Society di Istana Negara malam Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Persidangan Olave Baden-Powell Society (OB-PS) Malaysia 2023 di Istana Negara malam Ahad.

Tunku Azizah, yang juga Royal Benefactor dan pengerusi penganjur persidangan itu serta penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), tiba pada 8.40 malam diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut berangkat Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah; Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Majlis santapan malam itu dihadiri 400 tetamu, termasuk 370 peserta persidangan OB-PS dari seluruh dunia yang mengambil bahagian dalam acara itu yang berlangsung dari 12 hingga 16 Oktober.

Sebelum majlis santapan bermula, Tunku Azizah berkenan mengurniakan anugerah kepada peserta persidangan OB-PS iaitu Anugerah Pemimpin kepada Dallas Landon dari Australia, Elaine Paterson (Kanada), Deborah Robinson (Amerika Syarikat) dan Margaret Treloar dari Kanada.

Artikel Berkaitan:

Tunku Azizah berkenan menganugerahkan 'Leaders Award' kepada Elaine Paterson dari Kanada. - Foto Bernama
Tunku Azizah berkenan menganugerahkan 'Leaders Award' kepada Elaine Paterson dari Kanada. - Foto Bernama

Seri Paduka turut menganugerahkan Anugerah Penginovasi kepada Tricia Tilford dari Amerika Syarikat dan Anugerah Wawasan kepada Vibeke Riemer dan Lars Kolind dari Denmark.

Raja Permaisuri Agong juga berkenan menyampaikan tiga buah lagu iaitu Gurindam Jiwa, Menghitung Hari dan My Way sebelum majlis melabuhkan tirai.

OB-PS menyokong misi Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) dengan melabur dalam kepimpinan masa depan wanita muda yang akan memimpin keluarga mereka, komuniti, negara dan dunia.

Persidangan OB-PS diadakan setiap tahun untuk mengumpulkan ahlinya yang mempunyai kepentingan sama bagi menyediakan sokongan kewangan kepada WAGGGS dan memastikan aliran pendapatan yang stabil untuk membiayai kerja, projek, program dan perkhidmatannya. - Bernama