Jumlah mangsa banjir di Johor, Pahang menurun

Mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara. Foto Bernama
Mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang merekodkan penurunan kepada 5,802 orang setakat jam 8 malam ini berbanding 8,180 orang tengah hari tadi.

Laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan jumlah itu merangkumi 5,022 mangsa yang berlindung di 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan 780 mangsa di sembilan PPS di Pahang.

Di Johor, hanya Batu Pahat mencatat peningkatan jumlah mangsa banjir dengan 87 orang yang berlindung di dua PPS, manakala di tiga daerah menurun iaitu Johor Bahru (338 orang di tiga PPS), Kluang (350 orang di tiga PPS) dan Kota Tinggi (4,135 orang di 24 PPS), sementara di Pontian dan Segamat jumlah mangsa kekal masing-masing 17 orang di sebuah PPS dan 95 orang di tiga PPS.

Di Pahang, jumlah mangsa di dua daerah menurun iaitu Pekan dengan 564 orang di tiga PPS dan Rompin sebanyak 191 orang di lima PPS, manakala mangsa banjir di Maran kekal 25 orang di sebuah PPS.

Menurut laporan itu juga mangsa kebakaran di Sarawak kekal 38 orang yang berlindung di sebuah PPS di Kuching.

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor masih mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Endau di Kluang.

Sungai Pahang di Maran, Pekan dan Bera serta Sungai Rompin di Rompin, Pahang; Sungai Kelantan di Kota Bahru, Kelantan; Sungai Arau di Arau, Perlis; dan Sungai Klang di Klang, Selangor turut mencatatkan paras bahaya.

Laporan itu turut memaklumkan terdapat 52 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Pahang Tua-Ganchong-Pulau Manis di Pekan, Pahang dan Jalan Johor Bahru-Endau di Kota Tinggi, Johor. - Bernama

Artikel Berkaitan: