Taman Batuan Geologi UTP terbesar di Malaysia

Saarani menyaksikan penyerahan Sijil Pengiktirafan MBOR daripada Siti Hajar kepada Mohamed Ibrahim sempena Majlis Pembukaan Rasmi GRG UTP pada Khamis.
Saarani menyaksikan penyerahan Sijil Pengiktirafan MBOR daripada Siti Hajar kepada Mohamed Ibrahim sempena Majlis Pembukaan Rasmi GRG UTP pada Khamis.
A
A
A

SERI ISKANDAR - Taman Batuan Geologi (GRG) yang terletak di Universiti Teknologi Petronas (UTP) mencipta sejarah apabila mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai taman batuan geologi terbesar di negara ini.

GRG UTP yang merangkumi kawasan seluas 44,550 meter persegi dengan laluan sepanjang 1.18 km itu bakal menjadi tarikan baharu sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kewujudan GRG diharapkan akan menjadi nilai tambah kepada UTP kerana bersesuaian dengan konsep Pelancongan Pemulihan dan Pemuliharaan yang ditawarkan kepada pengunjung.

Jelasnya, konsep tersebut bertujuan merangsang pendapatan ekonomi pengalaman melalui pelancongan, selain fokus kepada ekologi dan alam sekitar.

"GRG yang dibuka kepada orang ramai ini diharapkan akan dapat memainkan peranannya yang signifikan sebagai tempat pembelajaran berasaskan pengalaman atau experiential learning, bukan sahaja bagi pelajar tetapi juga orang ramai.

"Secara tidak langsung, GRG ini sudah tentu berupaya mendekatkan orang ramai dengan bidang ilmu sains dan geologi," katanya kepada pemberita ketika berucap menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi GRG UTP, di sini pada Khamis.

Saarani (empat dari kanan) melihat sebahagian batuan yang dipamerkan di GRG UTP selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi GRG UTP pada Khamis.
Saarani (empat dari kanan) melihat sebahagian batuan yang dipamerkan di GRG UTP selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi GRG UTP pada Khamis.

Saarani berkata, pemahaman mendalam terhadap sumber daya geologi dan keunikan alam sekitar dapat membuka pelbagai peluang pembangunan ekonomi yang lestari.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, inisiatif pembukaan GRG itu tidak hanya akan meningkatkan pengetahuan pelajar, tetapi memperkukuhkan hubungan di antara institusi pendidikan dan pihak berkepentingan dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, geo-pelancongan serta pelancongan pendidikan di Perak.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Naib Canselor UTP, Profesor Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Pegawai MBOR, Siti Hajar Johor.

Pada majlis itu, beliau juga turut melancarkan empat buah buku terbitan UTP yang berkaitan dengan geologi iaitu UTP Geological Rock Garden: Malaysia’s Geological Rock Treasures, Immersive Reality Book: Earth Fossil Explorer, Immersive Reality Book: Rocks and Minerals dan Petrographic Atlas of Miocene Carbonates, Central Luconia, Sarawak.

Immersive Reality Book Series merupakan buku realiti maya yang pertama kali dihasilkan oleh sebuah universiti di Malaysia.

Dalam pada itu, GRG merangkumi lima tema geologi merentasi 540 juta tahun hingga ke zaman sekarang di sekeliling tasik UTP.