Sanusi selesai beri keterangan selepas tiga jam

Kenderaan yang membawa Sanusi meninggalkan Ibu Pejabat SPRM pagi ini.
Kenderaan yang membawa Sanusi meninggalkan Ibu Pejabat SPRM pagi ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selesai memberi keterangan selepas tiga jam berada di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kenderaan yang membawa Muhammad Sanusi bagaimanapun terus meninggalkan bangunan SPRM jam 11.37 pagi tanpa berhenti di hadapan pemberita ketika didekati.

Muhammad Sanusi hadir ke SPRM dipercayai memberi keterangan berkaitan dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan pihaknya mengambil keterangan Muhammad Sanusi.

“Lebih kurang tiga jam... Jam 8.30 pagi beliau (Muhammad Sanusi) tiba,” katanya ringkas.

Sebelum ini sumber melaporkan siasatan dilakukan selepas suruhanjaya itu menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan memperoleh projek di Kedah jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak negeri itu.

Berdasarkan siasatan, terdapat individu penting berjawatan tinggi dalam kerajaan negeri dan persatuan bola sepak itu berjanji akan memberikan projek pembinaan serta perkhidmatan sebagai balasan kepada kontraktor yang menyumbang dana.

Jumaat minggu lalu, empat individu ditahan reman bagi membantu siasatan dalam kes meminta dan menerima rasuah lebih RM6 juta pada 2020.

Artikel Berkaitan:

Wang itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.