Sanusi hadir ke SPRM, beri keterangan pagi ini

Sanusi
Sanusi
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diambil keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Khamis, berhubung isu rasuah lebih RM6 juta melibatkan sebuah persatuan bola sepak.

Difahamkan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu tiba di kira-kira jam 8.30 pagi.

Kehadiran Muhammad Sanusi itu disahkan Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Sinar Harian.

"Ya (Sanusi hadir), untuk siasatan di bawah Akta SPRM 2009," katanya.

Media baru-baru ini melaporkan siasatan kes rasuah ini dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek-projek di negeri berkenaan jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan.

Berdasarkan siasatan, terdapat individu penting berjawatan tinggi di Kerajaan Negeri dan di persatuan bola sepak berkenaan yang berjanji akan memberikan projek-projek pembinaan dan perkhidmatan sebagai balasan kepada kontraktor yang menyumbang dana.

Namun, selepas kontraktor-kontraktor ini menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan, mereka tidak menerima sebarang projek sebagaimana dijanjikan individu terbabit.

Pada 7 Januari lalu, Muhammad Sanusi mendakwa, wang RM6 juta yang dikaitkan dalam isu rasuah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) adalah sumbangan sebuah syarikat.

Artikel Berkaitan:

Menteri Besar Kedah itu berkata, syarikat terbabit mempunyai konsesi projek loji rawatan air di negeri ini dan berharap konsesi itu akan disambung.

Beliau yang juga Presiden KFA bagaimanapun, menjelaskan kerajaan negeri tidak menyambung konsensi syarikat itu dan syarikat terbabit kemudian meminta wang sumbangan RM6 juta itu dipulangkan semula.