Aaron-Wooi Yik lolos ke pusingan kedua Terbuka Malaysia

Aaron-Wooi Yik - Foto: FB BAM
Aaron-Wooi Yik - Foto: FB BAM
A
A
A

BEREGU lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bangkit dari ketinggalan satu set untuk menewaskan wakil Denmark, Rasmus Kjaer Pedersen-Frederik Sogaard dalam perlawanan pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Malaysia di Stadium Axiata Arena pada Rabu.

Aaron-Wooi Yik yang berstatus nombor empat dunia bangkit dari kekalahan 20-21 untuk menang dua set berikutnya 21-13, 21-13 dalam aksi 62 minit ke atas gandingan 22 dunia berkenaan.

"Ini merupakan pertemuan pertama kami, dan kami mengambil sedikit masa mencari rentak permainan pada set petama.

"Namun set kedua strategi kami berjaya mendapatkan semula rentak dan keyakinan dalam permainan.

" Dan pada pengakhiran kami gembira apabila berjaya kembali bangkit untuk memenangi perlawanan ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan

Kemenangan diraih pasangan nombor empat dunia itu membolehkan mereka berdepan satu lagi wakil negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin yang juga gandingan 26 dunia di pusingan kedua.

Mengulas pertemuan menentang Sze Fei-Nur Izzuddin, Aaron mengakui bukan satu perlawanan yang mudah kerana kedua-duanya berlatih bersama setiap hari.

"Ini kerana kami mengetahui gaya permainan masing-masing dan tidak penting siapa bertemu siapa.

Artikel Berkaitan:

"Namun paling penting akan ada wakil negara di pusingan seterusnya," katanya.

Sementara itu, Sze Fei-Nur Izzuddin mengesahkan kemaraan selepas mengambil masa 39 minit menewaskan gandingan 33 dunia dari Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren, straight set 21-17, 22-20.

Gandingan beregu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang berstatus nombor sembilan dunia juga mengesahkan kemaraan selepas menewaskan pasangan dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, 21-17, 21-18 dalam aksi 47 minit.

Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei turut mara selepas mengatasi pemain Taiwan, Sung Shuo Yun, straight set, 21-18, 21-18 dalam masa 40 minit.

Beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See juga mengesahkan kemaraan selepas bangkit tewas satu set untuk mengatasi Chang Ko Chi-Lee Chih Chen, 11-21, 26-24, 21-8 dalam masa 63 minit.

Bagaimanapun cabaran beregu wanita negara, Anna Ching Yik Cheong- Teoh Mei Xing berakhir selepas tewas kepada gandingan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.

Anna Ching-Mei Xing yang tampil dengan status nombor 64 dunia ternyata bukan tandingan Ha Na-So Hee merupakan pilihan kedua kejuaraan, apabila tewas straight set 14-21, 13-21 dalam tempoh 43 minit.

Cabaran beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien pula berakhir selepas tewas straight set kepada gandingan dari China,

Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan, 15-21,16-21 dalam masa 43 minit.

Turut sama tersingkir Go Pei Kee-Low Yeen Yuan yang tewas kepada Zhang Shu Xian-Zheng Yu, 13-21, 13-21 dalam masa 46 minit.