Dana RM700 juta: SPRM rekod keterangan Ismail Sabri

Ismail Sabri - Gambar Fail
Ismail Sabri - Gambar Fail
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekod keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu bagi siasatan berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta.

Difahamkan, keterangan Ahli Parlimen Bera itu direkod di ibu negara dan perkara itu disahkan SPRM dalam satu kenyataan.

"SPRM telah merakamkan keterangan Ismail Sabri bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana RM700 juta yang dibelanjakan untuk tujuan publisiti dan promosi semasa pentadbiran kerajaan terdahulu," katanya pada Rabu.

Pada Isnin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan akan memanggil seorang bekas Perdana Menteri untuk memberi keterangan berhubung kes terbabit.

Turut akan dipanggil ialah pegawai di pejabat bekas Perdana Menteri berkenaan yang terbabit dengan perbelanjaan dana.

Sebelum ini, SPRM telah ke Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi proses siasatan dan mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan.

Siasatan dibuat berdasarkan maklumat awal yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November tahun lalu.

Prabakaran ketika itu meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Persekutuan membelanjakan hingga RM700 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2022.