PGA Sarawak rampas RM3.7 juta rokok seludup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak melakar kejayaan besar dalam tempoh kurang 48 jam memasuki tahun baru, apabila sejumlah 15,143 karton rokok seludup bernilai hampir RM3.7 juta dirampas dalam tiga serbuan berasingan, kata Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Ramli Din hari ini.

Menurutnya, serbuan itu melibatkan tiga premis di bandar raya ini, di daerah Padawan dekat sini dan di Sarikei bahagian tengah Sarawak, di antara jam 11 pagi 1 Januari dan 1.30 tengah hari, hari ini di mana aktiviti itu dipercayai didalangi sebuah sindiket penyeludupan.

“Bagi kes yang pertama di Kuching semalam, satu pasukan terdiri daripada 17 anggota PGA dan tiga orang anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Tabuan Jaya," katanya dalam satu sidang akhbar di Briged PGA Sarawak di sini.

Ramli berkata, pemeriksaan di rumah terbabit telah membawa kepada rampasan 9,800 karton rokok putih dan rokok keretek seludup, selain sebuah van dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan, di mana nilai keseluruhan rampasan hasil serbuan itu berjumlah RM2.35 juta.

“Seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun telah ditahan di premis berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya.

Ramli berkata, kes kedua berlaku di Padawan semalam di mana seramai tujuh anggota PGA telah membuat serbuan di sebuah premis di pekan Batu 10 dan merampas sebanyak 1,123 karton rokok seludup serta merampas sebuah lori.

"Nilai rampasan barangan dari serbuan tersebut ialah sebanyak RM303,000 dan kesemua barang kes ini dihantar ke Ibu Pejabat Polis Padawan untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, serbuan ketiga dibuat di sebuah rumah di Sarikei jam 1.30 petang hari ini di mana sebanyak 2,300 karton rokok putih seludup bernilai RM529,000 dan 1,920 karton rokok keretek bernilai RM480,000 telah berjaya dirampas.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sindiket itu dipercayai sudah beroperasi antara enam bulan dan setahun di mana rokok-rokok ini dibawa masuk ke negeri ini melalui jalan-jalan laut dan darat dari sebuah negara jiran.

"Pihak PGA telah membuat intipan di antara dua minggu dan sebulan di premis-premis yang terlibat sebelum bertindak membuat serbuan-serbuan ini. Saya mengucapkan syabas kepada PGA Sarawak yang berjaya membongkar sindiket penyeludup rokok ini," katanya. - Bernama