Bolivia sertai Afrika Selatan

Pertempuran ganas masih berterusan di tengah Genting Gaza. - Foto: AFP
Pertempuran ganas masih berterusan di tengah Genting Gaza. - Foto: AFP
A
A
A

LA PAZ - Bolivia memaklumkan ia akan menyertai Afrika Selatan untuk menentang Israel menerusi kes genosid ke atas penduduk Palestin yang difailkan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Pengumuman itu dibuat Pusat Maklumat Palestin memetik kenyataan Kementerian Luar negara Amerika Selatan tersebut pada Isnin.

Keputusan itu menjadikan Bolivia sebagai negara pertama di Amerika Latin yang menyokong tuntutan undang-undang dikemukakan Afrika Selatan.

La Paz turut memuji keputusan tegas diambil Pretoria selaras dengan komitmen mereka terhadap Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia adalah langkah bersejarah dalam mempertahankan hak penduduk dan tuntutan Palestin yang sejak sekian lama mahu bebas daripada cengkaman Israel,” ujarnya sambil menambah, komuniti antarabangsa juga wajar menyokong inisiatif tersebut.

Prosiding itu dijadualkan bermula pada Khamis ini walaupun tindakan tersebut mengundang kemarahan rejim Tel Aviv yang bermati-matian menafikan tuduhan genosid itu.

Difahamkan, negara lain seperti Bangladesh, Comoros dan Djibouti juga mengemukakan tuntutan secara berasingan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung siasatan terhadap situasi di Palestin.

Pada Selasa, Kementerian Kesihatan di Gaza mendedahkan angka terkini korban kezaliman rejim Zionis meningkat kepada 23,210 orang, sementara 59,167 mangsa cedera setelah perang ganas di Gaza itu kini memasuki bulan yang keempat. - Agensi

Artikel Berkaitan: