63 tahun, perkauman masih kuat

A
A
A

HARI ini adalah hari ketiga kita masuk ke tahun 2020 dalam dekad ke 20 pada kurun ke 21. Kita melalui pelbagai babak membangun negara dengan pelbagai karenah sosial, budaya, politik dan ekonomi. Ada yang memberansangkan, ada yang mengecewakan. Bagi mereka yang lahir selepas 31 hb Ogos 1957, telah menyaksikan bagaimana rumit membina negara.

Tanah Melayu telah melalui penjajahan oleh Portugis, Belanda, Siam, Jepun dan British selama 446 tahun. Di tengah-tengah itu kita dikawal oleh komunis Bintang Tiga untuk beberapa ketika. Bila merdeka dilaungkan kita mewarisi keadaan negara yang telah diolah oleh British dengan kehadhiran warga yang didatangkan dari luar.

British telah mencatur untuk kepentingan mereka melalui pecah dan perintah; kaum Melayu di desa, Cina di kota, dan India di ladang. Lalu polarisasi kaum sengaja diwujudkan. Kita disyaratkan oleh British, jika mahu merdeka, semua kaum perlu bersepakat mentadbir bersama negara ini.

Kita mengambil kebijaksanaan luar biasa. Semua kaum diterima melalui Jus Soli. Tidak dipertikaikan mana-mana kaum. Kerakyatan diberi dengan begitu mudah kepada mereka yang datang dari luar. Ayuh, kita bangunkan negara ini bersama. Walaupun kita tahu ada kejanggalan. Sekolah Melayu, sekolah Inggeris dan sekolar vernakular diwujudkan. Kita meniti agar setiap kaum merasa punya hak yang adil dalam ekonomi, sosial, politik, ekonomi, pendidikan.

Walaupun kita sangat merasai bahawa penyatuan antara kaum sangat kuat ditentukan oleh bahasa dan pendidikan. Tetapi kita santuni dengan penuh cermat. Islam agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bumiputera mempunyai kedudukan istimewa sebagai kaum pendahulu. Namun hak kaum yang lain dari sudut ekonomi, pendidikan, bahasa, undang-undang tetap dijamin.

Lalu tidak ada yang tersisih. Mungkin bukan seratus peratus sempurna, akan tetapi negara ini dibangunkan dengan sangat unik sehingga kenikmatan dikecapi oleh semua kaum. Malah memang wujud kesenggangan kekayaan antara kaum, Cina di tangga pertama, India kedua dan Melayu ketiga.

Kita santuni perbezaan ini dengan penuh kebijaksanaan. Status kaum Melayu diperkukuhkan, peluang kaum Cina dan India tetap dibuka. Malaysia dilihat oleh dunia sebagai negara majmuk yang paling unik.

Malangnya setelah menjalani kemerdekaan selama 63 tahun, sentimen perkauman kelihatan semakin tajam di negara ini. Kaum Melayu memang sangat terasa melihat kekayaan negara masih didominasi oleh kaum lain. Memang kegagalan bangsa Melayu juga disumbang oleh masalah dalam kalangan orang Melayu sendiri.

Artikel Berkaitan:

Namun ketika mana wujud suara dan tuntutan yang menyimpang dari persepakatan nasional mengenai sosial, ekonomi dan ugama, kaum Melayu merasa tercabar. Sehingga timbul persoalan, apalagi yang dimahukan kaum lain ini?

Semacam tersimpan sikap berprasangka buruk kepada segala persepakatan antara kaum yang selama ini dipelihara dengan baik. Kedudukan agama Islam yang sangat sensitif kepada kaum Melayu serta kedudukan Raja-raja Melayu yang dianggap institusi yang sangat dihormati, tiba-tiba dipersoal. Kedudukan bahasa Melayu juga ditolak fungsinya sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan, termasuk yang terkini, pengajaran tulisan jawi dibantah keras oleh sekolah vernakular.

Dalam dunia maklumat terbuka dan media sosial yang sangat terdedah kepada reaksi dan respon pantas dan keras, sensitiviti antara kaum sangat mudah meledak kepada ketegangan.

Apabila wujud sebuah organisasi kaum yang menonjolkan bantahan kepada pengajaran tulisan jawi dalam hanya 4 muka surat dalam buku teks bahasa Melayu, ternyata sentimen kaum jelas dipertajamkan. Kelihatan badan sekolah vernakular tidak mahu menerima ciri kebangsaan dalam sistem pendidikan. Seolah sekolah vernakular mahu bebas dan tidak terikat sama sekali dengan sistem pendidikan kebangsaan.

Apabila badan yang berkaitan berkeras mahu menganjurkan sebuah majlis khas untuk membantah tulisan jawi, reaksi balas dari kaum Melayu sudah pasti tidak boleh dibendung. Inilah yang disebut menang jadi debu kalah jadi arang.

Malaysia sepatutnya boleh menjadi contoh hidup kepada slogan kesatuan dalam kepelbagaian. Tahun 2020 nampaknya akan semakin mencabar untuk membina Malaysia Baharu. Terpulang kepada rakyat yang matang, meletakkan kepentingan membangun negara sebagai negara yang baik dan mendapat keampunan Tuhan.

*Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu