Ridhuan Tee tempelak cadangan Rosyam Nor

Ridhuan Tee
Ridhuan Tee
A
A
A

SHAH ALAM - Pendakwah bebas, Mohd Ridhuan Tee Abdullah menempelak pandangan pelakon, Datuk Rosyam Nor mengenai kepentingan membenarkan pusat pelacuran dalam negara bagi warga asing melepaskan nafsu.

Menurutnya, cadangan seperti itu tidak sepatutnya diusulkan kerana ia seolah-olah mahu menjadikan negara ini seperti negara yang terkenal sebagai pusat maksiat.

“Saya syorkan kepada mereka ini, pergilah mengaji. Jangan jadi artis (termasuk yang lain) jahil.

“Apakah kita mahu Kuala Lumpur menjadi seperti Hatyai, terkenal sebagai pusat maksiat, pusat pelacuran.

“Kononnya, atas nama pusat pelancongan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, pelakon senior tersebut meluahkan pandangan peribadi apabila bersetuju dengan kewujudan rumah pelacuran di negara ini.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 57, berasa perkhidmatan itu dapat membantu mengurangkan kes rogol melibatkan warga asing yang semakin meningkat.

Bimbang dengan situasi yang berkenaan, pelakon itu berharap kewujudan rumah pelacuran setidak-tidaknya dapat menangani peningkatan bilangan kes jenayah melibatkan seksual di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Ridhuan yang lebih dikenali sebagai Ridhuan Tee berkata, Islam juga menjelaskan garis panduan dalam memenuhi keperluan seks.

“Antaranya adalah dengan puasa, doa, istighfar, mencintai ALLAH SWT dan Rasul, solat malam, menahan pandangan, berkumpul dengan orang baik-baik (soleh), menikah, hindari perangsang nafsu syahwat.

“Selain itu, ingatlah dosa dan balasannya, aktif gaya hidup sihat, hindari zina dan banyak cara lagi. Ini ikut cara Islam,” katanya.

Ujarnya, banyak cara untuk mencari kebahagiaan dan bukan hanya seks semata-mata.

“Ada orang bahagia, tanpa hubungan seks. Ada orang tidak kahwin, tanpa melakukan hubungan seks tetapi dia bahagia.

“Jangan asyik tergambar memuaskan nafsu alat kelamin sahaja. Nampak sangat otak kotor,” katanya.