Rodzi dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Digital

Mohd Zuki (kiri) menyerahkan watikah pelantikan kepada Rodzi.
Mohd Zuki (kiri) menyerahkan watikah pelantikan kepada Rodzi.
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Rodzi Md Saad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Digital berkuat kuasa 12 Disember 2023, demikian umum Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada Selasa.

Rodzi, 60, sebelum ini adalah Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara.

Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 34 tahun serta berpengalaman luas dalam pengurusan dan pentadbiran keselamatan negara meliputi pelbagai aspek termasuk sempadan, maritim serta keselamatan siber.

"Semoga dengan pelantikan ini, beliau dapat memacu pembangunan teknologi digital negara bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan digital yang holistik, inklusif dan lestari selari dengan aspirasi Malaysia Madani," kata Mohd Zuki dalam kenyataan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melaksanakan rombakan Kabinet pertama Kerajaan Perpaduan pada 12 Disember lepas mengumumkan penstrukturan semula Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipisahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Semalam, Anwar berkata, Kementerian Digital dibentuk untuk menerajui usaha transformasi digital supaya negara tidak ketinggalan dan dapat bersaing pantas. - Bernama

Artikel Berkaitan: