Wan Ahmad Dahlan dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam baharu

Mohd Zuki (kiri) memuat naik gambar bersama Wan Ahmad Dahlan di Facebook pada Isnin.
Mohd Zuki (kiri) memuat naik gambar bersama Wan Ahmad Dahlan di Facebook pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) baharu berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan berkenaan bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.

Menurutnya, pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berdasarkan pengalaman luas Wan Ahmad Dahlan dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan serta perkhidmatan.

“Saya yakin terhadap pengalaman dan kredibiliti dimilikinya, beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan ini bagi menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Kerajaan merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed atas segala bakti beliau sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, Wan Ahmad Dahlan menabur bakti dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun dan memulakan karier sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan pada 25 Januari 1995.

Wan Ahmad Dahlan juga pernah berkhidmat sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara serta di JPA.

Sebagai rekod, Wan Ahmad Dahlan, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia dan turut memiliki Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya (UM).

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!