United berjaya elak kejutan Wigan

Bruno Fernandes (tengah) meraikan jaringannya ketika menentang Wigan. Foto AFP
Bruno Fernandes (tengah) meraikan jaringannya ketika menentang Wigan. Foto AFP
A
A
A

MANCHESTER United memastikan tiada kejutan yang berlaku pada pusingan ketiga Piala FA apabila berjaya menundukkan pasukan dari Liga Kejuaraan Inggeris, Wigan 2-0 pada awal pagi Selasa.

Jaringan separuh masa pertama Diogo Dalot dan sepakan penalti kontroversi Bruno Fernandes memastikan kemenangan pertama United di tempat lawan sejak November.

“Piala FA adalah mengenai kemenangan, ia adalah kalah mati. Anda perlu menyelesaikan tugas tersebut. Itulah yang saya katakan di bilik persalinan: 'kerja selesai'.

“Pada separuh masa pertama saya fikir kami mencipta lima atau enam peluang yang sangat baik. Saya lihat ia perlawanan yang bagus.

“Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol, tetapi jika anda tidak menjaringkan gol anda perlu kekal fokus dan saya fikir kami melakukannya malam ini," kata pengendali United Erik ten Hag.

Selepas ini, United akan berdepan Tottenham Hotspur untuk aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mereka perlu menang untuk merapatkan jurang sembilan mata dengan pasukan di kedudukan empat teratas.

Pengendali kelahiran Belanda itu juga percaya suasana lebih baik di kelab itu selepas jutawan Britain Jim Ratcliffe membeli 25 peratus kepentingan dalam kelab itu.

“Ia adalah satu inspirasi. Semua orang optimis. Ada banyak kerja yang perlu dilakukan.

Artikel Berkaitan:

“Ia adalah satu perjalanan, ia adalah projek dan kini kami terpaksa berhadapan dengan beberapa halangan. Tetapi, kami akan terus hidup, bertahan dan bangkit," katanya.