JDT kurangkan bajet 40 peratus, mahu dilabel 'underdog' - TMJ

Tunku Ismail. Foto Agensi
Tunku Ismail. Foto Agensi
A
A
A

SELESA merendah diri, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan tampil sebagai skuad 'biasa-biasa' sahaja pada musim baharu Liga Malaysia (Liga-M) apabila sepak mula dijadual awal Mei depan.

Perkara itu diakui pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman sosial apabila mahu skuad Harimau Selatan dilabel sebagai 'underdog'.

Beliau berkata, menerusi pemotongan bajet hampir 40 peratus bagi saingan 2024-2025 JDT hadir sebagai pasukan yang sederhana sahaja.

“Bajet kelab telah dikurangkan sebanyak 40 peratus. Era menjadi pasukan bukan pilihan,” catat Tunku Ismail menerusi hantaran di laman sosial miliknya.

JDT baru-baru ini melakukan transformasi yang memperlihatkan kelab mengurangkan perbelanjaan 30 hingga 40 peratus disebabkan keperluan penstrukturan semula kewangan.

Skuad Harimau Selatan pada Ahad memaklumkan penyerang kelahiran Argentina, Fernando Forestieri meninggalkan juara Liga Super 10 kali berturut-turut JDT.

Dalam entri sama, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut mengucapkan terima kasih kepada Forestieri yang tidak lagi bersama pasukan itu.

“Terima kasih Fernando Forestieri. Kamu akan sentiasa menjadi sebahagian daripada sejarah kelab,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain cemerlang dengan kejuaraan sedekad Liga Super, JDT turut mendominasi merangkul Piala Malaysia sebanyak empat kali (2017, 2019, 2022, 2023), Piala FA tiga kali (2016, 2022, 2023) dan Piala Sumbangsih lapan kali (2015, 2016, 2018, 2019, 2020, 2021, 2022, 2023).