Sungai Johor melimpah, penduduk mula berpindah

Air sudah mula masuk di bandar Kota Tinggi disebabkan paras air Sungai Johor berada di tahap bahaya. Foto Facebook Polis Kota Tinggi.
Air sudah mula masuk di bandar Kota Tinggi disebabkan paras air Sungai Johor berada di tahap bahaya. Foto Facebook Polis Kota Tinggi.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Penduduk di beberapa taman perumahan dan kampung di sepanjang jajaran Sungai Johor, Kota Tinggi, terutamanya berdekatan Bandar Kota Tinggi sudah mula berpindah selepas hujan lebat berterusan dan pertembungan air pasang, mengakibatkan bandar tersebut dinaiki air.

Ketua Zon 2 Penguasa Bomba Rasidi Md Yunos berkata, kerja penyelamatan mangsa telah pun bermula sejak awal pagi tadi oleh pelbagai agensi, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seperti yang diatur gerak oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

"Air sudah mula masuk di bandar Kota Tinggi disebabkan paras air Sungai Johor berada di tahap bahaya, sebab hujan berterusan sejak awal pagi tadi sehingga sekarang. Air memang sudah melimpah ke bandar Kota Tinggi.

"Justeru, mereka yang belum berpindah dan berada di sepanjang jajaran Sungai Johor, diarahkan bersedia untuk berpindah, kerana dikhuatiri paras air akan terus meningkat malam ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

Bandar Kota Tinggi telah dinaiki air petang tadi sehingga melebih paras lutut. - Foto Facebook Polis Kota Tinggi.
Bandar Kota Tinggi telah dinaiki air petang tadi sehingga melebih paras lutut. - Foto Facebook Polis Kota Tinggi.



Setakat petang tadi, beliau berkata paras air di bandar Kota Tinggi sudah mencapai paras tiga kaki dan dijangka berada dalam trend meningkat, ditambah keadaan hujan masih belum berhenti dan air pasang masih berlaku sehingga kini.

"Air pasang turut memberi impak, sekarang tengah air pasang, itu sebab di bandar paras air sudah meningkat tiga kaki dan dijangka terus meningkat. Air pasang hanya dijangka surut mulai tengah hari esok, lebih kurang pada 1 tengah hari,” kata beliau.

Justeru itu, Rasidi menasihatkan pemilik perniagaan dan penduduk untuk mempertimbangkan situasi terkini sebelum memulakan perniagaan esok, kerana dikhuatiri paras air masih tinggi.

"Kita juga harap penduduk berpindahlah selepas dapat arahan dan lihat situasi telah meningkat sebab kita tak boleh jangka paras air yang meningkat, kerana masih ada yang enggan berpindah semasa kita buat pemindahan.

Artikel Berkaitan:


"Selain itu, kita nasihat agar orang ramai tidak bermain air dan berkumpul di gigi air, selain masih ramai yang dilihat berjalan kaki mengharungi air banjir serta ada yang menggunakan motor mengharung banjir. Kita nak elak daripada risiko kejadian lemas dan hilang serta sebagainya,” kata beliau.

Sebelum itu, tular beberapa video daripada orang awam menunjukkan Bandar Kota Tinggi telah dinaiki air petang tadi sehingga melebih paras lutut.

Setakat 8 malam tadi, seramai 3,322 mangsa banjir direkodkan di enam daerah di negeri ini dengan Kota Tinggi mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,638 orang ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS). - Bernama.