X

Kindly register in order to view this article
!

Dong Zong: 'Kami pertahan perlembagaan kami'

Cheng Suan (dua kiri) dan Tai Kim(dua kanan) bersama beberapa wakil pertubuhan Cina termasuk Dong Zong mempamerkan memorandum bantahan pengenalan tulisan Jawi di sekolah rendah untuk diserahkan kepada wakil KPM di lobi bangunan kementerian itu, petang tadi.
A
A

PUTRAJAYA - Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menolak cadangan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menuntut pertubuhan itu diharamkan kerana bersifat anti nasional.

Tuntutan beberapa NGO dan parti politik seperti Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) dan Pas itu dikemukakan susulan tindakan Dong Zong membantah pelaksanaan tulisan jawi dicadangkan Kementerian Pendididikan Malaysia (KPM) di sekolah rendah bermula tahun ini.

Setiausaha Agungnya, Tan Cheng Suan menegaskan Dong Zong mempertahankan keputusannya berdasarkan alasan mempertahankan perlembagaan pertubuhan itu.

"Masing-masing ada hak untuk menyuarakan pandangan tetapi keputusan kami (Dong Zong) adalah berdasarkan keperluan mempertahankan perlembagaan pertubuhan dan hak pendidikan kaum Cina.

"Kami menolak cadangan itu kerana kami bukan membantah pelaksanaan pengenalan tulisan jawi di sekolah.

"Kami tidak berpuas hati dengan kaedah pelaksanaan pengenalan tulisan itu yang tidak diimplementasi secara sukarela terhadap pelajar dan pengurusan sekolah vernakular," katanya kepada media di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan memorandum membantah kaedah pelaksanaan pengenalan tulisan jawi di sekolah rendah di lobi bangunan kementerian itu petang semalam.

Memorandum mengandungi dua muka surat yang turut membabitkan suara lebih 17 pertubuhan Cina dan beberapa pertubuhan India diserahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Kurikulum) KPM, Dr Habibah Abdul Rahim yang mewakili Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Turut hadir Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim.

Dalam pertemuan itu, Cheng Suan turut memohon KPM supaya memberi ruang kepada Dong Zong untuk mengadakan dialog dengan Dr Maszlee bagi memberi penjelasan terhadap alasan sebenar mereka berhubung polemik isu tulisan jawi.

"Kami turut mengalu-alukan cadangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya Dong Zong dilibatkan dalam badan khas membuat keputusan berhubung pelaksanaan pengenalan tulisan jawi di sekolah rendah.

"Kami berharap supaya KPM dan Menteri Pendidikan dapat menyambut baik hasrat kami sekali gus memastikan polemik pengenalan tulisan jawi di sekolah menemui titik penyelesaian," katanya.

Kelmarin, Gamis mengadakan satu himpunan yang berlangsung di Kuala Lumpur bagi mendesak Dong Zong segera diharamkan atas alasan mengganggu perpaduan dan Perlembagaan Negara.

Perhimpunan itu diadakan bagi menyatakan kekesalan susulan bantahan Dong Zong terhadap pengenalan subjek tulisan jawi di sekolah vernakular, disertai mahasiswa dari seluruh negara.

Terdahulu, sebanyak 17 persatuan Cina termasuk Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) membantah penggunaan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah pada sesi persekolahan tahun ini.

Berikutan itu, satu persidangan dianjurkan pada 28 Disember lalu bagi meraih sokongan ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membantah kaedah pelaksanaannya.

Bagaimanapun persidangan itu dibatalkan dan digantikan dengan Kongres Tulisan Jawi yang dianjurkan di Petaling Jaya susulan perintah mahkamah diperoleh polis.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus