Rakam gambar sebelum jatuh sungai

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan pihak berkuasa.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan pihak berkuasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Mangsa dikhuatiri lemas akibat terjatuh ketika memancing di Kampung Kemumbung, Sidam Kiri sempat mengambil gambar bersama ikan sebarau petang semalam.

Rakan mangsa, Mohd Rohisham Rosli, 40, berkata, mangsa, Mohammad Khairul Rosli, 29, teruja dapat menaikkan ikan tersebut sebelum memintanya merakamkan gambar kenangan.

Bagaimanapun menurut Mohd Rohisham, semasa dia pusing ke belakang, dia tidak menyedari mangsa menggelongsor jatuh ke dalam sungai dan terus hanyut dibawa arus deras.

Mohd Rohisham (tengah) ketika menceritakan kejadian membabitkan Muhammad Khairul yang terjatuh ketika memancing.
Mohd Rohisham (tengah) ketika menceritakan kejadian membabitkan Muhammad Khairul yang terjatuh ketika memancing.

"Saya baru lepas ambil gambar dia, lepas pusing balik nampak dia terjatuh, kami cuba cari kayu atau buluh nak sua (bagi) dan tolong selamatkan dia tapi dia tak sempat nak pegang, terus tenggelam," katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa merakamkan gambar bersama ikan yang diperoleh sebelum terjatuh.
Mangsa merakamkan gambar bersama ikan yang diperoleh sebelum terjatuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, mangsa bersama Mohd Rohisham dan Mohd Faiz Sabari, 26, dari Kampung Serukam, Sungai Petani sampai ke lokasi memancing di Kampung Kemumbung, dekat Sungai Muda.

Bagaimanapun, kira-kira jam 6.30 petang, mangsa dikatakan terjatuh selepas mahu turun untuk sambung memancing selepas dapat seekor ikan sebarau.

Artikel Berkaitan:

Adik mangsa, Siti Husna Rosli, 27, berkata, mangsa kerap memancing kerana minat dengan aktiviti itu sejak zaman remaja dan tidak menyangka abang sulung daripada tiga beradik itu terjatuh ketika melayan hobinya itu.

"Boleh dikatakan setiap hari lepas kerja dia keluar memancing kerana minat. Semalam kami terkejut dapat tahu dia terjatuh," katanya.

Menurutnya, ahli keluarga dan penduduk kampung yang sedih dengan perkhabaran itu turut meninjau ke lokasi kejadian bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan membabitkan anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bomba sukarela.

"Operasi hari ini telah bermula pada jam 8 pagi meliputi kawasan sekitar mangsa terjatuh dan dengan bantuan daripada pasukan menyelam Scuba Bomba di sekitar lokasi mangsa dan pencarian di permukaan sungai di sekitar tebing oleh pihak APM dan PDRM," katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian kira-kira jam 4 petang tadi mendapati operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.