'Sihir online juga wujud' - Shafiq Mujahid

Shafiq (kanan) ketika perkongsian bertajuk Wujudkah Sihir Online sempena Festival Seram Buku Prima 2024 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.
Shafiq (kanan) ketika perkongsian bertajuk Wujudkah Sihir Online sempena Festival Seram Buku Prima 2024 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Sihir boleh dibuat secara dalam talian bagi tempoh masa yang singkat hanya melalui sekeping gambar yang dikongsikan pelaku kepada bomoh untuk menghantar gangguan tersebut.

Pusat Rawatan Al Idrus (PRAI), Shafiq Mujahid berkata, ia boleh dilakukan dalam tempoh 72 jam selepas bomoh menerima gambar berkenaan.

Shafiq
Shafiq

“Perkembangan pesat zaman sekarang ada yang buat iklan dekat WhatsApp dan Facebook dengan menjual minyak pengasih supaya orang tunduk.

“Ada sesetengah sihir ini cuma mahukan orang terseksa sahaja dan bukan mahukan kematian, ada nak bagi kedai tutup serta rumah tangga berpisah antara suami isteri.

“Petanda seseorang kena sihir termasuklah kerap bermimpi seperti ular yang hendak patuk bermaksud ia sedang menghampiri tetapi masih belum kena,” katanya ketika berkongsi kisah bertajuk Wujudkah Sihir Online sempena Festival Seram Buku Prima 2024 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

Festival itu diadakan selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad untuk memberi peluang dan pengalaman kepada pengunjung merasai suasana seram yang mendebarkan.

Artikel Berkaitan:

Terdapat pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung termasuk pameran, rumah hantu, gerai jualan makanan dan buku seram termasuk reruai oleh Sinar Harian iaitu Zon Keras yang mengetengahkan isu misteri, psiko serta thriller.

Antara tarikan menarik di zon tersebut ialah bilik pengakuan dan soal siasat yang biasa dilakukan oleh polis.

Tambah Shafiq, orang yang terkena sihir pemisah dinasihatkan agar tidak datang ke pusat rawatan bersama-sama dengan pasangan iaitu suami dan isteri.

“Jangan datang sama-sama dalam satu kereta, kena berasingan dan kalau boleh jangan cakap kita nak jumpa perawat.

“Kedua-dua belah keluarga juga perlu datang kerana boleh jadi ia berlaku disebabkan saka sebelah suami dan isteri ini tidak serasi,” ujarnya.