Empat lelaki leka berjudi dalam bilik karaoke dicekup

Empat lelaki ditahan pihak penguat kuasa di sebuah pusat karaoke di Kuala Terengganu pada malam Jumaat.
Empat lelaki ditahan pihak penguat kuasa di sebuah pusat karaoke di Kuala Terengganu pada malam Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai empat individu ditahan ketika leka bermain judi daun terup di sebuah pusat hiburan karaoke di pusat bandar di sini pada malam Jumaat.

Lelaki berusia lingkungan 45 hingga 60 tahun itu ditahan sekitar jam 11.30 malam dalam serbuan dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Khairul Azizi Idris berkata, individu berkenaan ditahan menerusi Operasi Cegah Jenayah Syariah yang dijalankan melibatkan premis-premis karaoke di sekitar pusat bandar berkenaan.

Menurutnya, mereka yang ditahan memberikan alasan baru sampai di bilik karaoke itu untuk berhibur serta menyanyikan beberapa lagu bersama rakan-rakan lelaki.

Anggota penguat kuasa JHEAT menyerbu sebuah pusat karaoke di pusat bandar Kuala Terengganu.
Anggota penguat kuasa JHEAT menyerbu sebuah pusat karaoke di pusat bandar Kuala Terengganu.

"Hasil siasatan oleh anggota pegawai penguat kuasa syariah menemukan sejumlah wang dan daun terup yang dipercayai digunakan mereka untuk berjudi.

"Kita telah menyita wang tunai dan daun terup serta membawa kesemua yang terlibat ke JHEAT untuk siasatan lanjut. Mereka kemudian dilepaskan dengan bon jaminan hadir ke mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.

Khairul Azizi berkata, keempat-empat lelaki itu ditahan di bawah seksyen 22(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001.

Artikel Berkaitan:

Anggota penguat kuasa JHEAT menyoal mereka yang ditahan dipercayai terlibat aktiviti judi.
Anggota penguat kuasa JHEAT menyoal mereka yang ditahan dipercayai terlibat aktiviti judi.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, katanya, Bahagian Penguatkuasaan JHEAT akan memperkasakan operasi seumpama itu bagi mencegah penduduk negeri ini khususnya yang beragama Islam dari melakukan kesalahan jenayah syariah.

"Kita mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang kesalahan atau berdepan tindakan tegas oleh JHEAT," ujarnya.

Operasi Cegah Jenayah Syariah itu dijalankan di empat buah premis karaoke di sini dengan melibatkan seramai 14 anggota pegawai penguat kuasa syariah JHEAT.