Asyraf dedah pelajar miskin tolak bantuan, dakwa wang UMNO haram

Asyraf Wajdi - Foto Bernama
Asyraf Wajdi - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memohon pemimpin parti di negara ini dapat membentuk pemikiran penyokong mereka supaya tidak terlalu taksub pada parti.

Sikap berkenaan juga menyebabkan mereka menolak bantuan persendirian daripada individu yang bukan daripada parti sama kerana dianggap haram.

Perkongsian berkenaan susulan seorang pelajar miskin enggan menerima bantuan yang dihulurkan beliau berikutan patuh pada ibunya yang mendakwa wang UMNO haram.

"Mohonlah para pimpinan agar dapat menjernihkan pemikiran pengikut-pengikut supaya titik noktahkan politik taksub membenci dan sesat menyesatkan antara satu sama lain hingga anak kecil tidak berdosa pula dimangsakan," tulis beliau di Facebook.

Berkongsi peristiwa itu di media sosial berkenaan, Asyraf Wajdi meminta seorang individu menghubungi pelajar berkenaan yang dikenali sebagai Afiq untuk membantunya.

"Kisahnya begini. Apabila saya post video mengenai dua beradik yang terpaksa berniaga untuk menyara keluarga, ada seorang hamba ALLAH (Puan X) komen dan minta tolong saya.

"Katanya ada kes serupa yang berlaku di Pasir Mas Kelantan.

"Saya minta Puan X bagi maklumat. Katanya dia pernah bantu adik Afiq (nama sebenar ditutup untuk elakkan fitnah) pelajar Tingkatan Lima, abang kepada empat adik yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Bapanya sudah meninggal dunia manakala ibunya berada di hospital kerana penyakit kencing manis yang kronik," tulisnya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat memberitahu, kisah itu benar-benar meruntun jiwanya dan terus menyerahkan wang tunai kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas untuk diserahkan kepada pelajar berkenaan.

Bagaimanapun menurut beliau, Afiq berkali-kali menolaknya kerana takut dimarahi ibunya yang juga penyokong kuat parti berlabel agama dan mendakwa wang daripada UMNO adalah haram.

Kongsinya lagi, Afiq turut meminta maaf dan tidak mahu menerima bantuan berkenaan kerana bimbang dimarahi ibunya.

"Saya ikhlas membantu kerana kasihan dengan nasib lima anak-anak kecil yang bagaikan tiada pembelaan tanpa langsung memperkirakan warna parti," katanya lagi.

Asyraf Wajdi menegaskan bahawa prinsip beliau ialah terus membantu individu yang fakir miskin tanpa mengira ideologi atau kaum.

Bagaimanapun tambah beliau, akibat taksub berpolitik, ada yang sanggup mendoktrinasi pemikiran anak-anak sehingga takut menerima bantuan walaupun hidup melarat.