[VIDEO] ATM sedia terima arahan Nadma bantu mangsa banjir, pascabanjir

A
A
A

KOTA TINGGI- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia membantu mangsa banjir di seluruh negara terutama ketika Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan hingga Mac ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya juga bersedia menerima sebarang arahan dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam membantu mangsa banjir terlibat mendepani proses pascabanjir.

"Kita akan terus dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia bagi berhadapan dengan situasi banjir bukan sahaja di Kota Tinggi, tetapi di semua daerah di Johor dan juga termasuk di seluruh negara.

"Setakat ini belum ada lagi amaran gelombang banjir lain, hanya dimaklumkan hujan lebat sehingga esok (Ahad).

"Kita semua terima arahan bawah Nadma, kita bersedia untuk menerima apa-apa tugasan yang dinyatakan lebih-lebih lagi jika diperlukan dalam pascabanjir," katanya.

Mohamed Khaled (kanan) mendengar penerangan daripada pegawai bertugas ketika hadir di PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu hari ini. Foto Bernama
Mohamed Khaled (kanan) mendengar penerangan daripada pegawai bertugas ketika hadir di PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu hari ini. Foto Bernama

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kota Tinggi di sini pada Sabtu.

Menurut Mohamed Khaled, bagi banjir di Kota Tinggi, seramai enam pegawai dan 66 pangkat lain yang berpangkalan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram ditugaskan membantu mangsa banjir.

Artikel Berkaitan:

"ATM juga sediakan trak yang berkaitan bagi menghadapi situasi jalan putus di kawasan banjir, semua aspek kita akan lihat untuk ATM bantu," katanya.

Sebelum itu, Mohamed Khaled melakukan lawatan di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina New Kota dan juga Sekolah Kebangsaan Laksamana, Kota Tinggi.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, projek tebatan banjir Sungai Johor yang telah melalui proses tender dan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Seperti projek tebatan banjir Sungai Johor, kita lihat secara menyeluruh bagaimana hendak kurangkan kesan-kesan jika hujan lebat dapat elak banjir.

"Projek melibatkan lebih kurang peruntukan RM600 juta hingga RM700 juta.

"Sekarang sudah tender dan sudah ditutup tunggu dianugerahkan," katanya.