[VIDEO] Taktik pencuri kerang terbongkar

A
A
A

SABAK BERNAM - Sembunyi pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kerang antara taktik dikesan menerusi operasi bersepadu dijalankan Jabatan Perikanan Selangor di sebuah jeti perkampungan nelayan, dekat sini pada Jumaat.

Peralatan terdiri daripada kor bergalah atau tangguk tangan serta pelbagai alatan lain dijumpai disembunyikan di stor jeti ketika pemeriksaan menerusi Op Hurricane Bersepadu bermula jam 8 pagi dan berakhir kira-kira jam 5 petang itu.

Situasi tenang ketika awal operasi bertukar sedikit tegang apabila lokasi serbuan didatangi beberapa individu yang cuba mempersoalkan tindakan pihak berkuasa terlibat.

Terdapat peralatan yang disembunyikan di celah-celah jeti bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Terdapat peralatan yang disembunyikan di celah-celah jeti bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, situasi kembali terkawal setelah penerangan diberikan kepada individu terlibat berkaitan kesalahan pemilikan peralatan berkenaan.

Operasi secara bersepadu ini dijalankan melibatkan pihaknya bersama Jabatan Perikanan Malaysia Perak, Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor.

Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, operasi dijalankan berdasarkan risikan yang mendapati terdapat jeti dipercayai mendaratkan benih-benih kerang yang dicuri.

Antara peralatan menangguk kerang yang dirampas.
Antara peralatan menangguk kerang yang dirampas.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selain itu, terdapat ruangan serta binaan di beberapa jeti terlibat dijadikan tempat penyimpanan alat-alat dipercayai digunakan untuk kegiatan pencurian kerang.

"Rampasan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan ini melibatkan tujuh kor bergalah, 63 tangguk tangan halus dan 35 tangguk besi bernilai RM39,000.

"Selain itu, turut dirampas adalah lapan set rawa sorong yang bernilai RM20,000 dan 12 unit bubu naga bernilai RM720," katanya kepada Sinar Harian selepas operasi berkenaan pada Jumaat.

Katanya, tindakan diambil di bawah Seksyen 4 (1) Akta Perikanan 1985 Peraturan-peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002.

Antara peralatan dipercayai digunakan untuk menangguk kerang secara haram dirampas menerusi serbuan dijalankan pada Jumaat.
Antara peralatan dipercayai digunakan untuk menangguk kerang secara haram dirampas menerusi serbuan dijalankan pada Jumaat.

"Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Menurutnya, kerjasama orang ramai amat digalakkan dalam melaporkan sebarang kegiatan pencurian kerang di negeri ini.

"Aduan daripada orang ramai amat dialukan berkenaan aktiviti-aktiviti yang menjejaskan sumber perikanan negara termasuk berkaitan aduan kecurian benih kerang.

Anak serta benih kerang yang dikesan pihak berkuasa menerusi rampasan peralatan menangguk kerang ketika operasi pada Jumaat.
Anak serta benih kerang yang dikesan pihak berkuasa menerusi rampasan peralatan menangguk kerang ketika operasi pada Jumaat.

"Penglibatan komuniti dalam membanteras aktiviti ini juga amat digalakkan demi kelangsungan sumber perikanan dan menjamin sekuriti makanan," katanya.

Terdapat peralatan disembunyikan dalam stor di jeti yang diserbu namun berjaya dikesan pihak berkuasa sebelum tindakan rampasan dijalankan.
Terdapat peralatan disembunyikan dalam stor di jeti yang diserbu namun berjaya dikesan pihak berkuasa sebelum tindakan rampasan dijalankan.