Replika kuda hiasan seberat satu tan dilarikan pencuri

Replika kuda hiasan yang diperbuat besi dan bersalut tembaga yang dicuri pada Isnin.
Replika kuda hiasan yang diperbuat besi dan bersalut tembaga yang dicuri pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebuah replika kuda hiasan diperbuat daripada besi bersalut tembaga di sebuah kawasan perumahan dekat Taman Sri Pulai Perdana di sini, dilarikan pencuri dalam kejadian pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, replika kuda hiasan seberat satu tan itu ditemui semula pada jarak kira-kira 300 meter daripada lokasi kejadian.

"Pengawal keselamatan yang bertugas di pos pengawal melihat replika kuda hiasan itu dilarikan suspek tidak dikenali kira-kira jam 6 pagi dengan menggunakan sebuah lori dipercayai lori pengangkut sampah.

"Pengawal tersebut memaklumkan kejadian itu kepada Timbalan Pengerusi Jawantankuasa Penduduk dan kemudian cuba mengejar suspek serta mencari lori berkenaan namun tidak berjaya," katanya ketika dihubungi, pada Rabu.

Kerja-kerja meletakkan semula replika kuda hiasan yang berjaya ditemui semula selepas dicuri di Taman Sri Pulai Perdana.
Kerja-kerja meletakkan semula replika kuda hiasan yang berjaya ditemui semula selepas dicuri di Taman Sri Pulai Perdana.

Beliau berkata, replika kuda itu ditemui semula di Jalan Johor Bahru-Pontian selepas dipercayai terjatuh akibat tali pengikat putus sebelum ditinggalkan di tepi jalan.

"Setakat ini, pihak polis belum dapat mengenal pasti suspek namun tindakan mengesan lori digunakan masih dilaksanakan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular di media sosial kejadian replika kuda dilarikan dan ditemui semula namun dalam keadaan 'cedera'.