Teater Mek Mulung inspirasi pemenang Pertandingan Teater Seram

Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin (lima dari kanan) bergambar bersama peserta dari UiTM Puncak Perdana yang merangkul juara Pertandingan Teater Seram sempena Festival Seram Buku Prima 2024 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.
Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin (lima dari kanan) bergambar bersama peserta dari UiTM Puncak Perdana yang merangkul juara Pertandingan Teater Seram sempena Festival Seram Buku Prima 2024 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Teater tradisional Mek Mulung menjadi sumber inspirasi buat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana untuk merangkul gelaran juara dalam Pertandingan Teater Seram di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Pelajar UiTM itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi selepas menewaskan enam peserta dari institusi pengajian tinggi (IPT) lain dalam pertandingan berkenaan.

Wakil pelajar UiTM, Nazmie Ikhmal Badrul Hisham berkata, mereka mengolah naratif penceritaan Mek Mulung namun mengekalkan konsep sedia ada seperti watak dan lagu asal teater tersebut.

“Kami bereksperimen dengan teater tradisional ini tetapi masih menggunakan struktur asalnya iaitu ada pembukaan panggung dan berakhir dengan nyanyian lagu Kecil Milik Mek Mulung yang memang tak diubah.

“Skrip pula daripada alumni yang diolah sedikit sebab skrip asal adalah satu jam dan dijadikan kurang daripada 20 minit sesuai dengan peraturan pertandingan ini.

“Kami tak letakkan harapan yang tinggi untuk menang kerana hanya buat yang terbaik dan bersungguh-sungguh dengan hayati watak supaya ia sampai kepada juri dan penonton melalui persembahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Antara persembahan pelajar dalam Pertandingan Teater Seram sempena Festival Seram Buku Prima 2024 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.
Antara persembahan pelajar dalam Pertandingan Teater Seram sempena Festival Seram Buku Prima 2024 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Pertandingan teater itu bersempena Festival Seram Buku Prima 2024 yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Artikel Berkaitan:

Para pengunjung disajikan dengan pameran, rumah hantu, gerai jualan makanan dan buku seram termasuk reruai oleh Sinar Harian iaitu Zon Keras yang mengetengahkan isu misteri, psiko serta thriller.

Antara tarikan paling menarik di zon tersebut ialah bilik pengakuan dan soal siasat yang biasa dilakukan oleh polis.

Dalam pertandingan teater itu, naib johan dimenangi pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan tempat ketiga diraih Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM700 dan RM500.

Barisan juri pertandingan tersebut adalah Pengarang Eksekutif Lifestyle, Che Min; Alumni Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Mohamad Fahim Ali; Ketua Penolong Pengarah Komunikasi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Siti Rahayu Ahmad Azmi dan Pengarah Produksi Teater, Mohd Amirul Haswendy Ashari.

Sementara itu, Pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM merangkap jurulatih teater, Milol Tahar berkata, mereka mengambil masa tiga ke empat hari untuk melakukan persiapan penuh.

“Disebabkan persiapan dibuat dalam masa yang singkat, kami memang tak jangkakan kemenangan ini kerana kami cuma pastikan semuanya dapat berjalan dengan lancar.

Peserta Pertandingan Teater Seram sempena Festival Seram Buku Prima 2024 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.
Peserta Pertandingan Teater Seram sempena Festival Seram Buku Prima 2024 di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

“Kami fokus dekat jalan cerita, latihan, konsep dan genre supaya semua ini menepati kriteria pertandingan.

“Alhamdulillah, pelajar ini pun daripada pelajar teater dan boleh nampak kesungguhan mereka untuk tunjukkan bakat kepada penonton melalui lakonan,”ujarnya.