Cerpen Bau Mawar bawa tuah buat Narmin

Narmin (tengah) bersama dua guru pengiring yang membantu dia menghasilkan cerpen seram menarik.
Narmin (tengah) bersama dua guru pengiring yang membantu dia menghasilkan cerpen seram menarik.
A
A
A

SHAH ALAM - Cerpen bertajuk Bau Mawar membawa tuah kepada pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang Klang, Narmin Mohd Sahri apabila dinobatkan juara Pertandingan Menulis Cerpen sempena Festival Seram Buku Prima.

Narmin, 16, berkata, dia terpaksa bersengkang mata selama sebulan semata-mata mahu mendapatkan idea seram dan agak mencabar kerana ia memerlukan imaginasi yang tinggi.

“Ini kali pertama saya menyertai pertandingan menulis cerpen genre seram. Sebelum ini, saya sering melibatkan diri dalam acara menulis cerpen bebas.

“Tujuan saya menyertai pertandingan ini untuk mencabar kebolehan diri dalam menghasilkan penulisan dengan unsur mistik. Fasa pengumpulan idea merupakan proses paling mencabar kerana ia bermain dengan imaginasi,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Pertandingan Menulis Cerpen sempena Festival Seram Buku Prima mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya meraih lebih 30 penyertaan.
Pertandingan Menulis Cerpen sempena Festival Seram Buku Prima mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya meraih lebih 30 penyertaan.

Katanya, tanpa dorongan ibu bapa dan guru, dia tidak mampu untuk menghasilkan penulisan yang baik.

Dalam pada itu, Guru Perpustakaan dan Media SMK Rantau Panjang Klang, Siti Rohana Mohd Taha berkata, pihak sekolah sentiasa menyokong minat pelajar yang mahu mengembangkan bakat dalam dunia penulisan.

Katanya, program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam), merupakan platform yang membantu para pelajar untuk meneroka ilmu baharu.

Artikel Berkaitan:

“Melalui pembacaan, mereka (pelajar) secara tidak langsung dapat mengumpulkan idea yang ingin disampaikan dalam karya penulisan.

“Kami (guru) begitu menghargai usaha anak didik yang mahu mempelajari dan meneroka bidang baharu. Kami selaku guru tidak pernah memaksa mana-mana pelajar untuk mengikuti apa-apa pertandingan,” ujarnya.

Pada masa sama, Eksekutif Pemasaran Grup Buku Karangkraf (GBK), Nurul Shahirah Jasman berkata, pertandingan tersebut merupakan acara yang menerima sambutan paling menggalakkan.

Shahirah
Shahirah

“Tujuan kita mengadakan pertandingan ini adalah untuk melihat keupayaan bakat anak muda dalam menghasilkan karya genre seram.

“Tidak mudah untuk menulis cerpen seram. Ia memerlukan kreativiti, daya imaginasi dan penguasaan bahasa yang meluas bagi membolehkan mereka dinobatkan sebagai juara,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya sukar menentukan tempat pertama, kedua dan ketiga kerana kesemua penyertaan memiliki keunikan jalan cerita yang tersendiri.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi Nurfatinah Azhar dengan cerpen B02, Blok Mawar manakala Kitab Kutub Khanah nukilan Muhammad Afiq Zakwan Mohd Shukri dari SMK Shahbandaraya Klang di tempat ketiga.