ASSAR umum dividen 2.5 sen seunit

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

AMANAH Saham Sarawak (ASSAR) mengumumkan pengagihan dividen interim sebanyak 2.5 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

Ketika mengumumkannya pada satu majlis di sini pada Jumaat, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengagihan julung kali pasca penstrukturan semula ASSAR itu akan melibatkan pengagihan sebanyak RM11.71 juta kepada 57,613 pelabur, dikira berdasarkan baki pegangan unit pada 31 Disember 2023.

"Haruslah ditekankan bahawa pengagihan ini adalah berdasarkan perolehan bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan semasa dan hal ini amatlah memberangsangkan memandangkan Tabung ASSAR pasca penstrukturan hanya siap dilaburkan sepenuhnya pada Julai 2023,” katanya.

Abang Johari berkata, langkah penstrukturan semula ASSAR yang berjaya disempurnakan pada 21 Oktober 2022 telah mula membuahkan hasil.

Katanya, ini terbukti apabila Nilai Aset Bersih (NAB) seunit ASSAR telah meningkat secara konsisten kepada RM1.0854 pada 31 Disember 2023, iaitu pertumbuhan sebanyak 8.54 peratus sejak penstrukturannya.

"Jumlah pendapatan kasar yang dijana bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun 2024 ialah RM15.59 juta.

"Setelah ditolak perbelanjaan, pendapatan bersih Tabung ASSAR untuk enam bulan tersebut sebanyak RM13.29 juta,” katanya.

ASSAR telah dilancarkan pada 25 Ogos 1993 dengan objektif memberi peluang kepada rakyat Bumiputera di Sarawak untuk turut serta menikmati pembangunan ekonomi negara menerusi skim pelaburan secara kolektif dalam pasaran modal.

Artikel Berkaitan:

Setakat 31 Disember 2023, jumlah unit ASSAR meningkat daripada 100 juta unit pada awal pelancarannya kepada 468.35 juta unit, melibatkan penyertaan seramai 57,613 pelabur. - Bernama