Pemberian Khas interim Sarawak, Sabah naik kepada RM300 juta

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan telah meningkatkan kadar Pemberian Khas interim untuk Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini kadar yang disalurkan adalah sebanyak RM16 juta bagi Sarawak dan RM125.6 juta bagi Sabah.

"Kali terakhir kajian semula Pemberian Khas kepada Sarawak dan Sabah dibuat masing-masing pada 1969 dan 2022," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini, pada Jumaat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 telah diluluskan di Dewan Rakyat kelmarin bagi memperuntukkan wakil Kerajaan Negeri Sabah yang dinamakan Ketua Menteri Sabah dan seorang wakil Kerajaan Negeri Sarawak yang dinamakan Premier Sarawak selaras dengan hasil Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Sabah telah mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang akan berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.

Kata beliau, walaupun kuasa kawal selia diserahkan kepada Kerajaan Sabah, Kerajaan Persekutuan tetap akan terus membantu Kerajaan Sabah dalam mengukuhkan industri bekalan elektrik di Sabah melalui pemberian subsidi kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sehinggalah Pelan Transformasi SESB berjaya dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun iaitu sehingga 2030.

"Bagi menjamin kestabilan dan mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah khususnya di kawasan timur Sabah, Kerajaan Persekutuan akan memberi sokongan kepada pelaksanaan penjanaan tenaga secara solar hibrid serta pembinaan jaringan talian penghantar elektrik di selatan Sabah.

"Kerajaan Persekutuan juga sedang berunding untuk merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian Perkhidmatan Udara Desa (RAS) kepada kerajaan negeri," ujarnya.

Artikel Berkaitan: