ASB umum dividen 5.25 sen seunit

Kadar agihan pendapatan ASB itu meningkat 0.65 sen seunit berbanding dividen pada tahun lalu.
Kadar agihan pendapatan ASB itu meningkat 0.65 sen seunit berbanding dividen pada tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 4.25 sen seunit dan bonus 1.0 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Kadar itu meningkat 0.65 sen seunit berbanding dividen pada tahun lalu iaitu 4.6 sen seunit, merangkumi agihan pendapatan sebanyak 3.35 sen seunit dan bonus sebanyak 1.25 sen seunit.

Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM9.3 bilion tersebut memanfaatkan 10.8 juta pemegang unit ASB.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, bagi tahun ini, PNB menyaksikan peningkatan dalam bilangan akaun kepada 15.6 juta setakat Oktober 2023 berbanding 15.2 juta tahun lalu.

Katanya, populariti berterusan produk unit amanah terbukti melalui kajian daripada 2023 RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) apabila produk ASNB mengekalkan kedudukan sebagai pilihan pelaburan paling popular.

"Di sebalik keadaan pasaran yang sentiasa berubah-ubah, PNB telah secara konsisten memberikan pulangan yang kompetitif melalui dana harga tetap kami, yang kesemuanya telah mengatasi penanda aras mereka selama ini.

"Oleh itu, orang ramai digalakkan agar terus menyimpan untuk jangka masa panjang dan masa depan yang terjamin.

"Kami mengiktiraf kepentingan memperjuangkan agenda celik kewangan dan berpandukan matlamat kami iaitu untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat Malaysia, merentas generasi’.

Artikel Berkaitan:

"Kami komited untuk berkhidmat kepada pemegang unit kami dan memberikan hasil yang kompetitif," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Presiden Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, ASB telah mencatatkan prestasi yang kukuh, hasil daripada perumpukan aset dan pelbagai strategi dan beberapa urus niaga penting telah dilaksanakan untuk meningkatkan nilai bagi pemegang unit.

Katanya yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, ASB 3 terus menjadi pelaburan pilihan jutaan masyarakat bumiputera dan terus memberikan pulangan yang konsisten, membentuk sebahagian daripada pelan simpanan untuk lebih 10.8 juta pelanggan.

"Susulan pelancaran dana ASN Sukuk pada November 2022, PNB menyaksikan permintaan yang sihat daripada pemegang unit dengan lebih daripada 1 bilion unit terjual sejak pelancaran.

"PNB terus menunjukkan daya tahannya dalam mengharungi ketidaktentuan 2023.

"Seiring melangkah ke tahun baharu dan melakarkan peluang baharu, kami akan meneruskan strategi pelaburan kami dan kekal teguh dalam komitmen untuk menyampaikan mandat kami,” katanya.

Sementara itu, menjelang 2024, PNB terus menyokong agenda inovasi dan mengutamakan pendigitalan untuk menambah baik pengalaman pemegang unit, sambil memastikan Kumpulan berada dilandasan yang betul.

Menurut PNB, Auto Labur iaitu fungsi pelaburan berulang pada aplikasi myASNB akan diperkenalkan, untuk meningkatkan tabiat menyimpan dan memperkenalkan ASNB Academy, sebuah instrumen celik kewangan yang boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia dengan fungsi sebagai hab pengetahuan dan pusat rujukan mengenai pelaburan serta perancangan kewangan.

"Urus niaga ASB di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platform digital dan perbankan internet akan ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 hingga 25 Disember.

"Satu ciri khas diperkenalkan pada tahun ini bagi menggalakkan rakyat Malaysia terus menyimpan, yang membolehkan transaksi pelaburan tunai tambahan dalam ASB bermula 26 Disember 2023," katanya.