Langkah Dubai: 'Jadilah anak jantan, bukan kais-kais, kuis-kuis'

Keratan laporan Sinar Harian mengenai isu Langkah Dubai. Gambar kecil: Ahmad Zaharuddin Sani
Keratan laporan Sinar Harian mengenai isu Langkah Dubai. Gambar kecil: Ahmad Zaharuddin Sani
A
A
A

ALOR SETAR - Pembangkang perlu menjadi 'anak jantan' jika benar-benar mahu menukar kerajaan dengan melakukannya secara berhemah mengikut peraturan sedia ada.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, buat masa ini, hanya Parlimen sahaja yang boleh ‘menjatuhkan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Akta Anti Lompat Parti dikuatkuasakan dan pembangkang boleh mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen berbanding merangka Langkah Dubai.

“Jika serius mahu tukar kerajaan, jadilah anak jantan dengan bertindak (bawa usul undi tidak percaya), bukan seperti sekarang umpama kais-kais, kuis-kuis sahaja.

“Kali ini undian tidak boleh lagi sekadar menyatakan setuju atau tidak setuju, sebaliknya setiap individu harus mengangkat tangan dan dikira undi mereka.

"Tidak perlu lagi bersembunyi di sebalik topeng ahli Parlimen, dengan cara ini kita dapat lihat siapa berada di pihak mana,” katanya di sini pada Jumaat.

Ahmad Zaharuddin Sani yang merupakan Konsultan Kanan, Global Asia Consulting menegaskan, sekiranya pembangkang tidak membawa usul tersebut, Perdana Menteri sendiri boleh membawa usul sama bagi membuktikan kepada rakyat bahawa beliau memiliki undi mencukupi.

“Sekiranya Anwar sendiri bawa usul berkenaan, kaedah angkat tangan juga harus dilakukan supaya kita boleh tahu siapa yang setia bersama beliau,” ujarnya.

Menurutnya, objektif Langkah Dubai mahupun Langkah Sheraton atau Langkah London yang diuar-uarkan sebelum ini mempunyai matlamat sama, iaitu untuk menjatuhkan Perdana Menteri ketika itu.

Artikel Berkaitan:

“Jadi ia menimbulkan persoalan, sama ada boleh dilakukan atau tidak seseorang Perdana Menteri dijatuhkan dalam keadaan sebegitu?

“Kalau sebelum ini, jawapannya boleh kerana belum ada peraturan mengenai Akta Anti Lompat Parti, maksudnya mana-mana individu boleh nyatakan tidak bersetuju dengan kerajaan atau parti yang mereka anggotai tanpa keluar dari parti tersebut kerana ia dibenarkan.

“Kalau sekarang, dengan adanya akta tersebut, hanya boleh menyatakan sokongan tanpa keluar parti bagi mengelakkan berlakunya pilihan raya,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani memaklumkan, kejayaan sesebuah negara bergantung kepada tiga K, iaitu kestabilan, kemakmuran dan kemaslahatan biarpun ketua kerajaan silih berganti.

“Ini termasuk kestabilan politik. Tidak ada industri atau pelabur mahu membuat pelaburan di negara yang tidak stabil.

"Kalau berubah-ubah politik bermaksud negara itu tidak stabil menyebabkan ramai pelabur lari kerana mereka mahukan dasar polisi yang kekal selama sepenggal.

“Perubahan politik menyebabkan dasar berubah kerana pemain politik juga berbeza, menyebabkan pelabur berdepan risiko tinggi,” ujarnya.

Bekas Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM) itu berkata, ketiga-tiga aspek itu amat diperlukan agar permasalahan rakyat dapat ditangani sebaiknya.

“Nasihat saya kepada kerajaan, pastikan selesaikan masalah rakyat yang menjadi punca pergolakan bawahan seolah-olah kerajaan gagal menyelesaikan isu.

“Kepada pembangkang dinasihatkan agar membawa idea bernas, bukan sekadar mengocak kapal menyebabkan akhirnya kapal itu tenggelam.

“Semua pihak harus maju ke hadapan, jadikan politik negara ini sebagai dinamik kesejahteraan.

"Kita mahu masyarakat faham apa itu politik, bukan menakut-nakutkan masyarakat tentang politik,” katanya.