One Hope Charity & Welfare rai 'Wira Oren'

Sui Hau (enam dari kanan) dan Azhar (lima dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan program tautan jasih One Hope Charity 2023 yang diadakan di Menara Bandaraya, pada Jumaat.
Sui Hau (enam dari kanan) dan Azhar (lima dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan program tautan jasih One Hope Charity 2023 yang diadakan di Menara Bandaraya, pada Jumaat.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Khidmat bakti 200 kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang bertugas dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) mendapat perhatian One Hope Charity & Welfare dengan meraikan mereka dalam program tautan kasih One Hope Charity 2023.

Pengerusinya, Datuk Chua Sui Hau berkata, kesanggupan mereka menjalankan tugas setiap hari walaupun berdepan risiko perlu dihargai kerana tidak semua orang sanggup melakukan kerja sedemikian.

Menurutnya, tanpa keringat dan pengorbanan pekerja MBSP yang lebih dikenali 'Wira Oren' sudah pastinya masyarakat khususnya penduduk Seberang Perai tidak dapat menikmati kehidupan dengan persekitaran yang bersih dan selamat.

"Kakitangan MBSP telah bekerja keras dengan berkhidmat kepada masyarakat. Kami tidak pernah melupakan jasa dan sumbangan Wira Oren mereka.

"Oleh itu, kami aturkan majlis khas ini dengan memberikan bakul makanan berupa keperluan asas bernilai RM100 bagi setiap seorang dan wang tunai sebanyak RM200 sebagai saguhati," katanya ketika berucap pada majlis yang diadakan di Menara Bandaraya MBSP, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad serta barisan ahli majlis.

Sui Hau berkata, program penghargaan ini diadakan bersempena ulang tahun ke-21 penubuhan badan kebajikan itu yang disambut bersama masyarakat berbilang kaum di negeri ini

Sui Hau menyampaikan bantuan kepada salah seorang petugas MBSP dalam program tautan jasih One Hope Charity 2023, pada Jumaat.
Sui Hau menyampaikan bantuan kepada salah seorang petugas MBSP dalam program tautan jasih One Hope Charity 2023, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pada tahun lalu, pihaknya telah mengagihkan sebanyak 7,000 set barangan keperluan asas dan 'angpau' buat mereka yang memerlukan dengan kos lebih RM2.3 juta.

"Seramai 7,000 keluarga menerima manfaat melalui program ini selain setiap dari mereka menerima sumbangan bernilai RM300.

"Dengan wang tunai ini, diharap dapat meringankan beban mereka untuk menampung kos pelajaran anak, bil utiliti atau membeli barangan keperluan asas lain.

Sementara itu, Azhar ketika berucap menyanjung tinggi kemurahan hati badan kebajikan itu yang sentiasa prihatin dan murah hati kepada orang ramai.

"Perkhidmatan kebajikan yang diberikan bukan setakat ditumpukan kepada rakyat, tetapi juga disalurkan secara menyeluruh termasuklah dalam meringankan beban sistem perubatan negeri dan negara ketika pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu.

"Kami amat berbangga dengan peranan dimainkan badan kebajikan ini dan berharap One Hope Charity akan terus mengusahakan kerja kebajikan yang lebih mampan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan," katanya.