Konvensyen Kerajaan Perpaduan untuk buktikan pentadbiran PH-BN kukuh

Setiausaha PKR Perak, Mohd Azlan Helmi
Setiausaha PKR Perak, Mohd Azlan Helmi
A
A
A

IPOH - Penganjuran Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak pada hujung bulan ini bertujuan membuktikan pentadbiran gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) benar-benar kukuh.

Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, selepas setahun gabungan berkenaan mentadbir, fokus kerajaan negeri hanya terarah kepada usaha menyelesaikan permasalahan rakyat.

Menurutnya, matlamat utama parti-parti ini bergabung adalah untuk memastikan pembangunan negeri Perak berjalan dengan baik mengikut perancangan yang ditetapkan.

"Kita fokus kepada usaha-usaha untuk selesaikan isu rakyat sepertimana hari ini. Oleh itu, cubaan-cubaan di luar sana, khabar angin seolah-olah kerajaan ini tumbang merupakan perkara yang tak baik. Sebenarnya semua pihak harus fokus menjadikan negara dan negeri ini menjadi lebih baik.

"Konvensyen yang akan diadakan ini menghimpunkan semua parti bagi menunjukkan bersatu padunya kita dalam usaha mencapai matlamat utama membangunkan negeri Perak dengan membawa lebih banyak pelaburan ke negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kaunter Pendaftaran PADU di PEDi Batu 8, Tambun di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata, PKR Perak akan menghantar kira-kira 1,500 perwakilan untuk turut sama di dalam konvensyen berkenaan.

Menurutnya, kehadiran perwakilan PKR itu akan membuktikan bahawa parti itu memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri Perak pimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad.

Jelasnya, pada konvensyen berkenaan juga, Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan pastikan kesemua 24 Cabang PKR Perak menghantar wakil masing-masing ke konvensyen ini untuk menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kita kepada Kerajaan Perpaduan ini.

"Kita juga nak buktikan bahawa tidak wujud tikam belakang dan sebagainya seperti didakwa sesetengah pihak. Kita jujur dalam perjuangan kita, jujur dalam perjanjian kita dan kita bersatu padu dengan matlamat tak lain tak bukan nak majukan negeri Perak itu," katanya.

Pada Khamis, Saarani yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) memaklumkan bahawa parti gabungan di dalam Kerajaan Perpaduan akan mengadakan konvensyen pertama tahun 2024 pada 28 Januari nanti.