[VIDEO] Pas, PN tidak perlu budaya ‘shopping’ ahli Parlimen - Abdul Hadi

A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama rakan-rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) memilih pendekatan tidak membudayakan ‘shopping’ ahli Parlimen dengan menggunakan wang atau janji-janji.

Sebaliknya beliau berkata, pihaknya berpijak di bumi nyata dengan mengamalkan politik demokrasi sebenar dan bergantung kepada rakyat serta pengorbanan mereka kepada parti sejak penubuhannya sehingga kini

Abdul Hadi berkata, walaupun melalui pasang surut dalam politik, namun mereka tetap bersedia dan berusaha menunggu perubahan kerajaan melalui proses demokrasi serta Raja Berperlembagaan.

"Orang yang tidak boleh bertahan melalui ribut dan gelombang politik ini umpama mereka yang mabuk kapal di lautan.

"Apa yang dapat dirempuh oleh gelombang yang diadakan ini, laksana gerak air kopi yang dikacau dalam cawan oleh sudu yang kecil,” katanya menerusi hantaran ‘Minda Presiden Pas’ di Facebook miliknya pada Jumaat.

Abdul Hadi
Abdul Hadi

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mengaitkan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk wakil tertentu kerajaan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa bertujuan mengalihkan isu moral yang membelenggu J-KOM sebelum ini.

Dakwanya lagi, selain pemimpin PN, terdapat juga pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk dikatakan menggunakan 'sumber asing' untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut bersetuju dengan pandangan Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin bahawa langkah atau gerakan mengubah kerajaan perlu datang daripada pihak yang mempunyai wang.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, berbeza pula dengan pembangkang yang disekat peruntukan, bahkan dibekukan perjalanan kewangan dan juga disita.

"Pada masa yang sama, pihak yang menyokong pihak pembangkang pula dilakukan sekatan dan disusahkan kerana dianggap menjadi pencabar paling bahaya terhadap kerajaan," katanya.