Isteri rela suami poligami, sanggup pinang jadi madu

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

Walaupun keadaan politik negara semakin ‘panas’ dengan pelbagai isu, namun baru-baru ini kisah seorang mutawif yang telah menunaikan hasrat isterinya supaya mengahwini wanita lain untuk menjadi isteri kedua menarik perhatian netizen.

Mohd Loqman Mohd Salleh, 38, berkata, isteri pertamanya telah meminang wanita tersebut untuk dijadikan madu.

Majlis pernikahan tersebut diadakan pada 24 Disember lalu dan isteri keduanya merupakan sahabat baik kepada isteri pertama.

Katanya, selama 12 tahun melayari perkahwinan dengan isteri pertama, Mohd Loqman mengakui bahagia malah mereka juga dikurniakan tiga orang cahaya mata berusia 11 hingga empat tahun.

Trend isteri membenarkan suami berkahwin dua atau lebih bukan perkara baharu.

Sebelum ini juga, terdapat wanita yang meminang rakan baik menjadi madu kerana berasa kesunyian tanpa kawan.

Tambahan pula, suami sibuk mencari nafkah bagi memastikan keselesaan isteri.

Walaupun ada yang berpendapat keluarga akan lebih meriah dengan kehadiran isteri baharu, namun perkara tersebut masih menjadi perdebatan dalam kalangan netizen.

Artikel Berkaitan:

Rata-rata wanita akan cepat melenting dan sensitif apabila pasangan masing-masing meluahkan hasrat untuk berkahwin lebih daripada satu.

Namun,perkara itu adalah lumrah dan fitrah wanita yang ingin terus disayangi serta tidak menjadi pilihan kedua atau ketiga oleh lelaki.

Tidak dinafikan bahawa poligami itu bukan perbuatan dilarang dalam syarak, malah ia diraikan sebagai sunah Rasulullah kepada mereka yang benar-benar mampu menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

Poligami merupakan tanggungjawab dan bukan sekadar melunaskan nafsu semata-mata.

Ia juga melibatkan kestabilan kewangan, keadilan dan juga kebijaksanaan suami dalam menjalankan tanggungjawab terhadap isteri serta anak-anak.

Penulis tidak menafikan kehidupan poligami mungkin indah untuk sesetengah wanita, namun ia tidak semanis yang disangka.

Bukan semua wanita rela berkongsi kasih sayang dan menjalani kehidupan dengan isteri baharu.